IPOH, 17 Ogos (Bernama) — Helah seorang lelaki untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan membungkus dadah jenis methamphetamine seberat 16.42 kilogram bernilai lebih setengah juta ringgit menggunakan pembungkus teh herba gagal apabila dia ditahan polis Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata, lelaki berumur 36 tahun dan berkerja di kedai runcit di Kedah itu ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri di Jalan Medan Ipoh di sini, kira-kira 9.30 malam.
Beliau berkata dadah yang dianggar bernilai RM656,800 itu ditemukan dalam 15 bungkusan teh herba dalam beg suspek semasa ditahan polis hasil daripada risikan.
“Kita percaya dadah berkenaan adalah untuk pasaran sekitar Perak terutama Ipoh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihak polis turut menyita sebuah kereta Honda bernilai RM70,000 yang digunakan lelaki terbabit.
Goh berkata suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan berkemungkinan terlibat dengan sindiket, namun perkara itu masih disiasat.
Katanya suspek direman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati gantung sampai mati.
Sumber: BERNAMA