PUTRAJAYA, 1 Mac 2022 – Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 11 Disember 2020 telah bersetuju menetapkan (mengisytiharkan) bahawa Bulan Mac setiap tahun sebagai Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK). Oleh kerana Covid19 yang sedang memuncak, sambutan pada tahun 2021 telah ditangguhkan.
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan sambutan BPK buat julung-julung kalinya di peringkat nasional di seluruh negara bulan Mac 2022. Objektif BPK antara lain untuk memperkasa pengguna agar menjadi lebih cakna dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek terutamanya aspek perlindungan pengguna.
Sambutan BPK ini bersesuaian dengan sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (HHPS) yang disambut pada 15 Mac setiap tahun di mana tahun ini temanya adalah Fair Digital Finance yang bermaksud kesaksamaan dalam kewangan digital. Ia menumpukan kepada kesaksamaan dan perlindungan dalam aktiviti kewangan secara atas talian. KPDNHEP mengadaptasi tema berkenaan selaras dengan keadaan dan kesesuaian masyarakat pengguna di negara ini iaitu Digitalisasi Pengguna yang berfokuskan kepada penggunaan transaksi atas talian yang lebih mudah, cepat dan selamat bagi urusan harian.
Pemilihan tema ini bertepatan dengan senario pandemik Covid-19 yang memerlukan sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dan sebagainya dilakukan tanpa sentuhan dan transaksi dalam talian adalah platform yang paling selamat dan efisien.
KPDNHEP berharap pengguna turut serta bersama arus teknologi digital dan seterusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital lebih-lebih lagi dari sudut keselamatan dan perlindungan dari ancaman scam, penipuan, penggodam dan sebagainya.
Bagi merancakkan pengisian Bulan Pengguna Kebangsaan 2022, pelbagai aktiviti dan program telah dirancang selaras dengan perkembangan hal ehwal kepenggunaan semasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang masih berkuatkuasa. Antara aktiviti dan program yang akan dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah termasuklah aktiviti komuniti, wacana ilmiah, kembara rakan KPDNHEP, jualan, karnival kepenggunaan, promosi dan pertandingan kepenggunaan. BPK ini akan disambut selama sebulan bermula pada 1 Mac dan berakhir pada 31 Mac 2022 di mana kemuncak sambutan akan diadakan pada 26 Mac 2022.
Sekiranya pengguna menghadapi sebarang masalah atau menjadi mangsa penipuan, segeralah bertindak dengan melaporkan perkara berkenaan kepada KPDNHEP atau agensi-agensi berkenaan dan pastikan hak anda sebagai pengguna sentiasa dilindungi.
Pengguna bijak, perkasa hak, berani bertindak!