
Bukan Saja-Saja, Ini Sebab Tayar Dicipta Warna Hitam
Boleh dikatakan kereta menjadi pengangkutan utama untuk bergerak ke sesuatu lokasi. Dari tahun ke tahun, peratusan individu yang membeli kereta semakin meningkat, selain permintaan yang tinggi terhadap kenderaan itu.
Namun, bukan perkara itu yang mahu disentuh dalam artikel kali ini.
Mungkin pertanyaan ini agak pelik tetapi pernah atau tidak anda melihat warna tayar kenderaan selain warna hitam? Kenapa ia dicipta warna hitam, padahal getah yang menjadi bahan utama pembuatan tayar berwarna putih?
Tidak pasti jika persoalan ini pernah muncul di benak fikiran anda atau tidak, tetapi untuk pengetahuan anda tayar hitam dicipta bersebab.
Menurut Mental Floss, pada awal penciptaan tayar, ia sebenarnya berwarna putih kerana faktor penambahan zink oksida dalam getah asli. Tindakan itu dilakukan untuk menguatkan bahan pada tayar.
Tayar putih itu dipasang pada Ford Model T yang dikeluarkan pada tahun 1908.
Bagaimanapun, pengeluar tayar pada satu ketika memutuskan untuk menjadikan warna tayar lebih gelap.
Wartawan automotif Jalopnik, David Tracy yang pernah mengajukan soalan kepada Michelin mendedahkan bahawa tayar berubah warna apabila pengeluar mula menambah karbon hitam sekitar 1917.
Karbon hitam mengandungi unsur yang diperbuat daripada pembakar gas atau minyak yang tidak lengkap dan dikumpulkan sebagai zarah. Tujuan penggunaannya adalah untuk meningkatkan ketahanan tayar, dengan menghalang sinaran UV daripada merosakkan dan membuatkan tayar itu menjadi retak.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menguatkan cengkaman ketika kereta bergerak di atas jalan. Malah, karbon hitam juga meningkatkan kekuatan tegangan dan menjadikan tayar tidak mudah haus.
Disebabkan itu, tayar lama yang tidak ‘dirawat’ dengan karbon hitam perlu diganti walaupun ia masih lagi boleh menempuh perjalanan sejauh 5000 batu.
Dalam pada itu, tayar yang diperbuat daripada karbon hitam boleh dipandu sejauh 50,000 batu atau lebih.
Karbon hitam pada mulanya dibekalkan kepada pengeluar tayar BF Goodrich oleh Binney & Smith iaitu syarikat yang menghasilkan krayon Crayola. Namun, evolusi warna tayar terus berkembang.
Kebanyakan syarikat pengeluar tayar cuba mengurangkan kos pengeluaran dengan hanya menambah karbon hitam pada bahagian bunga tayar, yang secara tidak sengaja mencipta tayar whitewall dengan bahagian sisi berwarna putih dan tapak berwarna gelap. Reka bentuk dua tona ini masih popular dalam kalangan pengumpul kereta klasik hingga ke hari ini.
Jadi, tayar kenderaan pada awalnya berwarna putih dan mengalami evolusi kepada warna hitam, menjadikannya seperti yang kita lihat hari ini.
Semoga persoalan anda terjawab.
Sumber: Mental Floss