fungsi berwarna berus gigi
Kredit: Dr Dintist

Bukan Saja-Saja, Ini Rupanya Fungsi Bahagian Berwarna Pada Berus Gigi Budak

Sofea

Bukan Saja-Saja, Ini Rupanya Fungsi Bahagian Berwarna Pada Berus Gigi Budak

Memberus gigi adalah satu rutin kebersihan mulut yang penting untuk mencegah kerosakan gigi, penyakit gusi dan bau mulut. Sejak kecil, tabiat memberus gigi perlu dibentuk oleh ibu bapa kepada anak-anak.

Hal ini bagi memastikan anak-anak lebih cakna mengenai kesihatan gigi mereka. Bagaimanapun, bukan mudah sebenarnya untuk mendidik mereka memberus gigi dengan betul terutama sebelum tidur.

Mungkin disebabkan itu, berus gigi kanak-kanak dijual dengan pelbagai rekaan dan corak yang comel, untuk menarik perhatian mereka. Namun, pernah atau tidak anda tertanya-tanya mengenai tompok berwarna yang ada pada bahagian tengah berus gigi?

BACA JUGA: Bukan Saja-Saja, Ini Sebab Tayar Dicipta Warna Hitam

Mengapa ia hanya ada pada berus gigi kanak-kanak dan tidak pada berus gigi orang dewasa? Rupanya ia bukan saja-saja dicipta sebegitu.

Menurut seorang doktor gigi di TikTok, @DrDintist, tompok berwarna pada tengah-tengah berus gigi adalah petunjuk untuk berapa banyak ubat gigi perlu diletak bagi memberus gigi.

“Salah satu sebab kanak-kanak susah nak gosok gigi adalah kerana terlalu banyak letak ubat gigit, jadi kena letak sikit,” katanya di kapsyen.

Menurutnya, semakin meningkat umur anak, semakin besar tompok tersebut. Tetapi lapisan ubat gigi tetap perlu diletakkan dalam kuantiti yang kecil.

“Umur enam tahun ke atas dah boleh pakai ubat gigi dewasa dan ia hanya dalam saiz kacang pis sahaja,” ujarnya.

Perkongsian itu mendapat reaksi dari orang ramai yang rata-ratanya baru tahu mengenai perkara terbabit.

“Baru tahu hampir umur nak ke alam kubur,” kata seorang netizen.

“Selama ini betul tekaan saya rupanya, anak saya dah 11 bulan, memang saya ikut dot biru tu je sebab tak dapat nak agak saiz kacang pis. Boleh tarik nafas lega mak dia ni,” kata seorang lagi netizen.

“Sebak pula rasa, sepanjang 30 tahun aku hidup, ni baru tahu fungsi sebenar,” kata netizen yang lain.

Sumber: Dr Dintist

BACA JUGA: Bukan Saja-saja, Ini Rupanya Sebab Botol Pil Preskripsi Biasanya Berwarna Jingga