Warna Matahari
Kredit: NASA

Bukan Kuning Atau Merah, Ini Warna Matahari Yang Sebenarnya

Azzwin

Bukan Kuning Atau Merah, Ini Warna Matahari Yang Sebenarnya

Apabila melihat Matahari, jarang kita mempersoalkan warnanya.

Pada waktu tengah hari, Matahari sering kelihatan kekuningan dan sangat terang hingga menyilaukan mata.

Namun apabila menjelang senja, warnanya mula berubah daripada kuning kepada jingga.

Kali ini, SK akan membongkar apakah sebenarnya warna Matahari dan mengapa ia kelihatan berbeza bergantung pada waktu, menurut portal BBC Sky at Night Magazine.

Matahari sebenarnya berwarna putih

Menurut portal BBC Sky at Night Magazine, warna Matahari ditentukan oleh tahap kepanasannya.

Difahamkan, suhu permukaan Matahari adalah kira-kira 5,800 darjah Celsius.

Pada suhu ini, Matahari menghasilkan pelbagai cahaya, termasuk cahaya yang boleh dilihat oleh mata manusia.

matahari
Kredit: ImageFX

Apabila sesuatu sumber cahaya mengandungi semua warna dalam spektrum cahaya, ia akan kelihatan putih.

Sebagai contoh, cahaya putih yang melalui prisma akan terurai menjadi pelbagai warna seperti pelangi.

Disebabkan Matahari memancarkan semua warna ini serentak, warna sebenar Matahari ialah putih.

Ini boleh dilihat dengan jelas jika kita berada di angkasa, di mana cahaya Matahari tidak diganggu oleh atmosfera.

Mengapa Matahari kelihatan kuning atau merah di Bumi?

Di Bumi, cahaya Matahari perlu melalui lapisan atmosfera sebelum sampai ke mata kita, menurut portal BBC Sky at Night Magazine.

Dalam proses ini, cahaya Matahari tidak bergerak lurus sepenuhnya kerana dihalang oleh zarah udara.

matahari jingga
Kredit: ImageFX

Dijelaskan bahawa fenomena ini dikenali sebagai serakan Rayleigh.

Difahamkan, cahaya berwarna biru lebih mudah diserakkan, sebab itulah langit kelihatan biru pada waktu siang.

Perubahan warna Matahari

Apabila Matahari berada tegak di langit, iaitu waktu tengah hari, cahaya hanya melalui lapisan atmosfera yang lebih nipis.

Menurut portal BBC Sky at Night Magazine, inilah sebab Matahari kelihatan putih kekuningan.

matahari terbenam
Kredit: ImageFX

Namun, ketika Matahari terbenam, cahaya perlu melalui lapisan udara yang lebih tebal.

Cahaya biru banyak diserakkan, manakala cahaya merah dan jingga lebih mudah sampai ke mata kita.

Oleh itu, Matahari terbenam kelihatan merah atau jingga yang cantik.