
Buka Cerita Soal Isteri, Luahan Suami Runtun Hati Ramai
Dalam hidup seorang lelaki, terutamanya mereka yang bergelar suami dan ayah, isteri bukan hanya teman sekatil. Sebaliknya, isterilah insan paling berharga selepas ibunda tercinta.
Kaum adam mungkin jarang meluahkan rasa. Ada yang memendam, ada yang hanya tersenyum walau hatinya penuh gelora. Namun, apabila seorang suami akhirnya berkongsi ceritanya, dapat dirasakan isi hati yang terbuku melalui setiap bait kata-katanya.
Begitulah kisah yang tular baru-baru ini. Sebuah coretan ringkas daripada seorang suami tentang isterinya, namun cukup meruntun hati ramai.
Ramai yang kagum, ramai yang sebak kerana di mata suami itu, isterinya bukan wanita biasa. Dia seorang wanita hebat. Wanita yang diuji tanpa henti, tetapi tetap berdiri teguh bersama keluarga kecil mereka.
Bayangkan betapa beratnya sebuah jiwa yang telah kehilangan dua anak dan menjaga suami yang terlantar. Dia juga menyara keluarga dan berulang-alik ke hospital demi anak-anak yang juga sakit, sedangkan dirinya sendiri turut bertarung nyawa.
Namun, si isteri tetap memilih untuk kuat. Tetap memilih untuk tersenyum. Tetap memilih untuk menjadi tiang seri keluarganya.
Ini isteri saya, betapa kuat semangatnya. Dia lahirkan zuriat saya tujuh orang, dan dia juga memandikan jenazah dua orang anak kami.
Dia menjaga saya semasa saya terlantar selama setahun. Dia beri semangat kepada saya ketika saya jalani rawatan chemotherapy.
Sekarang memang saya tak boleh bekerja, cuma dapat elaun ilat daripada Perkeso dan sedikit sumbangan daripada Zakat Selangor. Dia berniaga kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluar.
Sekarang pula tiga daripada lima anak kami sakit, dan dialah yang berulang-alik ke hospital. Bila anak masuk wad, dia yang menjaga.
Isteri saya juga menghidap sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis, tetapi dia tetap kuat demi keluarga.
Saya hanya mampu membantu dari belakang. Dia buat segala-galanya. Beliau cuma mahu saya dan anak-anak terjaga dan terurus dengan baik.
Sekarang dia lebih tumpukan kepada Alysa kerana penyakitnya lebih kurang sama dengan arwah kakak-kakaknya. Dia tak sanggup kehilangan anak lagi. Cukuplah dua orang… baginya terlalu berat, terutama menahan rindu yang tidak terkata.
Doakan isteri saya sihat dan dimurahkan rezeki oleh Allah.
Kadangkala kita lupa, dalam dunia ini banyak wanita yang hatinya retak tetapi tidak pernah pecah. Banyak isteri yang tubuhnya letih tetapi tidak pernah berhenti melangkah.
Mereka tidak mengharapkan balasan mewah. Tidak meminta pujian. Mereka hanya mahu keluarga kecil mereka terjaga, terurus dan tidak kurang kasih sayang.
Kisah suami ini mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap lelaki yang diuji, sering berdiri seorang wanita yang hatinya luar biasa tabah.
Seorang isteri yang tidak pernah mengalah walau air matanya jatuh setiap malam. Seorang ibu yang menyimpan seribu satu rasa tetapi tetap menguruskan keluarga dengan penuh kasih.
Semoga wanita hebat ini diberikan kesihatan, kekuatan dan rezeki yang melimpah. Semoga kita semua juga lebih menghargai pasangan hidup yang kita pilih, yang mungkin tidak sempurna, tetapi telah banyak berkorban demi kita tanpa pernah meminta balasan.
BACA: Mat Saleh “Speechless” Terima Surat Dari Kedai Makan Malaysia
Sumber: Threads @fahaizalzee1