Seorang kanak-kanak dilaporkan telah membunuh ibunya sendiri dengan menembak ke arah kepala ketika ibunya itu sedang melakukan panggilan Zoom berkaitan dengan kerja, menurut polis Florida.
Rakan kerja mangsa yang sedang berbual dengan mangsa telah ternampak wanita itu terjatuh ke belakang selepas terdengar satu bunyi letupan yang kuat semasa panggilan video itu berlangsung.
Saksi kemudiannya segera menghubungi panggilan kecemasan dan memberitahu bahawa dia percaya mangsa telah ditembak.
Detektif menyatakan bahawa anak kepada mangsa telah menemui sepucuk pistol kepunyaan bapanya yang tidak dikunci dan terus menembak mangsa di bahagian kepala di rumah mereka di Altamonte Springs di pinggir Orlando.
“Pegawai dan paramedik telah melakukan yang terbaik untuk memberikan bantuan kepada mangsa, namun dia ditemui dengan luka tembakan di bahagian kepalanya,” kata polis.
Seorang lagi kanak-kanak lain juga turut berada di rumah pada waktu kejadian, namun tidak ada diantara mereka tercedera susulan daripada kejadian itu.
Siasatan masih sedang dijalankan bagi menentukan sama ada pemilik senjata api itu akan menghadapi tuduhan jenayah atau tidak.
Sumber: Daily Mail