Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dilaporkan telah membawa pistol ke sekolahnya di South Carolina pada 18 Februari lalu kerana dia dipercayai mahu ‘menembak zombi’.
Memetik laporan Miami Herald, pistol itu ditemui oleh seorang ahli fakulti di Sekolah Rendah Laurens di tempat duduk meja pelajar sekitar jam 7.50 pagi dan melaporkannya kepada pegawai polis.
Difahamkan, kanak-kanak itu mendapat pistol dari rumah datuknya, yang kemudiannya telah ditangkap dan didakwa atas kesalahan menyalahi undang-undang terhadap seorang kanak-kanak.
Pegawai polis, Detektif JC Brewington berkata tiada ancaman yang dibuat terhadap pelajar lain atau polis tetapi kanak-kanak itu berkata dia mahu ‘menembak zombi di sekolah’.
Tambahnya, pihak sekolah dipuji atas tindakan pantas mereka yang mengesan pistol tersebut.
Sementara itu, Superintendan Ameca Thomas pula menggalakkan ibu bapa untuk memeriksa beg galas anak masing-masing sebelum mereka pergi ke sekolah untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang lagi.
“Penting untuk ibu bapa bercakap secara terbuka dengan anak-anak mereka mengenai perkara-perkara seperti ini, walaupun pada usia enam tahun, kita tidak tahu apa kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.
Sumber: Miami Herald