Pernah tak anda terfikir bahawa esei akademik atau kajian yang anda lakukan ketika belajar boleh ‘disita’ oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)?
Jika ianya dirampas oleh mereka pasti berita tersebut akan mengejutkan anda bukan?
Inilah yang berlaku kepada seorang pelajar di Amerika Syarikat, apabila satu kajian yang dibuatnya bagi memenuhi syarat bergraduasi akhirnya telah menarik perhatian hingga diserbu FBI.
John Aristotle Phillip merupakan seorang pelajar sarjana muda dalam bidang aeroangkasa dan sains mekanikal, yang mulanya digelar sebagai ‘berpencapaian rendah’ sehinggalah topik penyelidikan yang dipilihnya membuatkan dia mendapat nama samaran ‘The A-Bomb Kid’.
Berbekalkan maklumat daripada Pejabat Cetakan Kerajaan Amerika Syarikat yang tidak sulit dan hasil pembacaan di perpuatakaan sekolahnya, dia telah mereka sebuah bom nuklear yang mampu menghancurkan suku Manhattan menurut laporan pada masa itu.
Pada tahun 1976, dia telah mengkaji peranti sebesar saiz bola pantai tersebut selama beberapa bulan untuk menunjukkan bertapa mudahnya bagi pengganas atau orang jahat lain untuk mereka mencipta sebuah bom nuklear menggunakan pengetahuan awam.
Hasil daripada uji kajinya itu, Dr Frank Chilton telah mengesahkan bahawa rekaan tersebut ‘dijamin berfungsi’.
Berhubung kes ini, mahasiswa lain ada juga yang pernah mencuba untuk melakukan projek yang sama, namun mereka tidak berjaya.
Tetapi, Philip berjaya memperoleh maklumat berkaitan bahan yang diperlukan dengan hanya menelefon pihak DuPont untuk bertanya bahan yang yang mereka gunakan.
Biarpun bom yang dibawanya ke kelas hanyalah replika, namun kertas kajian yang ditulisnya secara teori mampu menghasilkan bom nuklear dengan kekuatan satu pertiga kekuatan daripada bom atom yang digugurkan di Hiroshima.
Susulan daripada kajian tersebut, seminggu selepas menyerahkan kajiannya itu, apabila dia kembali untuk mengambilnya di jabatan Fizik, Phillips mendapati bahawa ianya tiada di situ.
Setelah dia disiasat oleh pengerusi jabatan baru dia menyedari bahawa maklumat yang dia peroleh daripada DuPont mungkin maklumat sulit.
Pihak FBI akhirnya membuat sisatan di universiti dan merampas semua benda yang berkaitan dengan kajiannya itu.
Bukan itu sahaja, dia juga dilapor turut ‘diziarahi’ oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Berikutan kerjanya pada peranti itu, Phillips menjadi aktivis anti-proliferasi nuklear selepas tamat pengajian, malah bertanding untuk kongres beberapa kali di platform perjuangan yang sama.
Sumber: iflscience