Korea Selatan – Kumpulan pop terkenal dunia, BTS tidak akan dikecualikan dari menyertai khidmat tentera di negara mereka.
Memetik laporan Daily Mail, kesemua tujuh anggota kumpulan itu sangat diharapkan dapat berkhidmat dengan tentera Korea Selatan.
Duta Korea Selatan di Britain, Gunn Kim berkata Korea Selatan perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga berikutan ketegangan yang semakin meningkat dengan Korea Utara.
Disebabkan itu, semua lelaki yang berumur 18 hingga 28 tahun wajib menjalani khidmat tentera sekurang-kurangnya selama 18 bulan.
Ia sekaligus dijangka boleh menambah 555,000 pasukan aktif negara dan 3.1 juta tentera simpanan.
BTS jadi contoh teladan anak muda
“Diharapkan lelaki muda di Korea Selatan dapat berkhidmat untuk negara dan ahli BTS itu adalah contoh teladan bagi kebanyakan generasi muda negara ini.
“Kebanyakan dari kami (rakyat Korea Selatan) menjangkakan bahawa ahli BTS akan menunaikan kewajiban mereka sebagai warga Korea Selatan, saya rasa perkara itu akan berlaku akhirnya,” katanya.
Terdahulu, ahli BTS yang terdiri daripada Jungkook, J-Hope, Jimin, V, Jin, RM dan Suga itu telah diberikan penangguhan untuk menjalani khidmat tentera.
Untuk pengetahuan, perhimpunan kebangsaan Korea Selatan meluluskan “Undang-undang BTS” pada Disember 2020.
BACA: Peminat BTS Lancar ‘Kempen’, Mahu Bintang K-Pop, ‘Oppa’ Jungkook Diberi Watak Superhero Marvel
Dalam undang-undang tersebut, ahli kumpulan itu dibenarkan untuk menangguhkan perkhidmatan tentera mereka sehingga mencapai usia 30 tahun.
Pun begitu, Jin yang merupakan ahli tertua kumpulan itu bakal memasuki usia 30 tahun pada Disember tahun ini.
Justeru, ia mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin tidak lama lagi akan menyertai khidmat tentera.
Pada satu masa nanti, dia akan disertai oleh Suga yang kini berusia 29 tahun, J-Hope, 28, RM, 27, Jimin dan V, 26 dan Jungkook, 24.
Mungkin tidak dapat buat persembahan selama satu dekad
Susulan dari itu, kesemua mereka mungkin tidak dapat membuat persembahan bersama selama hampir satu dekad.
Sementara itu, ketegangan di antara Korea Selatan dan Korea Utara semakin memuncak apabila Korea Utara didakwa telah berjaya menguji peluru berpandu Hwasong-17 baru-baru ini.
Penganalisis berkata peluru berpandu balistik jarak jauh itu mungkin mampu membawa peledak nuklear.
Bagaimanapun, Hwasong-15 adalah peluru berpandu yang lebih kecil dan kurang berkuasa.
Dalam pada itu, BTS baru-baru ini mencuri tumpuan selepas membuat persembahan di majlis Anugerah Grammy ke-64.
Mereka turut tercalon dalam kategori Duo Pop Terbaik/ Persembahan Kumpulan tetapi tumpas kepada Doja Cat dan SZA.
Sumber: Daily Mail, Military.com