
Bront Palarae Kini Dilantik Profesor Adjung Fakulti MMU
Pelakon versatil, Bront Palarae telah dilantik secara rasmi sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni Sinematik (FCA), Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Berita berkenaan dimaklumkan sendiri oleh MMU menerusi satu hantaran di Instagram, @fcammu_.
Pelantikan Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin berdasarkan pengalaman dan dedikasinya yang komited dalam karier serta industri seni tanah air.
“Bront Palarae merupakan seorang tokoh terkenal industri hiburan Malaysia dengan pengalaman selama dua dekad dalam lakonan, penerbitan dan penceritaan
“Beliau sudah membintangi lebih 70 filem di tujuh negara, termasuk memfokuskan aktiviti karier seninya di tanah air, Indonesia dan Thailand,” kata hantaran itu.
Selain menjadi tokoh terkemuka dalam industri filem, Bront pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
@fcammu_ berkata, beliau juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa iaitu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Difahamkan, beliau pernah menjadi duta Unicef Malaysia untuk kempen “Janji Saya Kepada Kanak-Kanak” bagi memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak pada tahun 2014 hingga 2015.
“Pengalaman industri Bront yang luas dan komitmen positifnya terhadap kempen sosial kemanusiaan sekaligus memantapkan profil kerjayanya yang pelbagai,” ujar @fcammu_ lagi.
Melebarkan sayapnya sehingga ke layar Indonesia
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebelum ini mengumumkan Bront Palarae telah mencipta sejarah peribadi.
Lakonannya di dalam filem seram remake karya Joko Anwar, ‘Pengabdi Setan’ telah dicalonkan bagi kategori Aktor Terbaik di Indonesia Box Office Movie Awards (IBOMA 2018).
Bront yang turut muncul di dalam filem Indonesia seperti My Stupid Boss, Headshot dan Ayat Ayat Cinta 2 berterima kasih kepada sutradara filem Pengabdi Setan, Joko Anwar.
Ini kerana Joko Anwar berjaya mengemudi filem terlaris Indonesia tahun 2017 dengan 4.2 juta penonton dan turut menjelajah di hampir 42 buah negara.
Selain itu, nama Bront Palarae terus meniti di bibir peminat negara seberang selepas filem adiwara, Gundala mula ditayangkan di sana.
Membawa watak antagonis ‘Pengkor’, beliau turut berkongsi rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada produksi filem itu kerana jalan penceritaanya yang berbeza termasuk konflik dalam politik.
BACA: Kenapa “Oil Filter” Penting Untuk Kesihatan Kereta Anda? Ini Sebabnya
Sumber: @fcammu_ via Instagram, FINAS, Bernama