KUALA TERENGGANU, 3 Nov (Bernama) — Tujuh sekeluarga yang terperangkap dalam banjir kilat berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian di Kampung Binjai, Chendering di sini malam ini.
Ketua Operasi JPBM Pegawai Bomba Kanan 2 Mokhtar Dollah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 malam dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dikerah ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi, kita dapati air berada di paras pinggang dan untuk operasi pada malam ini, kita menggunakan sebuah bot untuk membawa keluar kesemua mangsa yang terdiri daripada dua orang dewasa, dua warga emas dan tiga kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 70 tahun.
“Kita bawa keluar mereka menggunakan bot kerana seorang daripada warga emas tersebut mengalami masalah sakit lutut. Kita khuatir sekiranya dia mengharungi air banjir untuk berpindah akan memudaratkan kesihatannya,” kata beliau ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya banjir kilat itu melibatkan tiga rumah namun hanya satu keluarga sahaja yang dipindahkan manakala dua rumah lagi tidak berpenghuni ketika kejadian.
Sementara itu, mangsa Zamri Ahmad, 40, berkata paras air mula naik pada kira-kira 7 malam selepas hujan lebat sejak petang tadi.
“Saya terpaksa telefon pihak bomba ekoran paras air semakin meningkat dan kawasan dapur serta ruang tamu rumah telah dimasuki air. Saya sebenarnya tinggal di Kampung Seberang Pintasan, Dungun tetapi balik ke sini apabila ibu mertua saya beritahu air mula naik.
“Buat masa ini, kami semua akan tinggal sementara di rumah tumpangan yang berdekatan kerana risau keadaan air semakin tinggi sekiranya hujan lebat pada tengah malam nanti,” katanya.
Beliau berkata banjir kilat sering berlaku di situ sejak beberapa tahun lepas apabila hujan lebat selama beberapa jam kerana terletak di lokasi yang agak rendah berbanding kawasan sekitar.
Sumber: BERNAMA