Johor Bahru : Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini masih berusaha memadamkan kebakaran stor penyimpanan bahan kimia ‘aluminium dross’ di Jalan Perindustrian 5, Kawasan Perindustrian Pontian, dekat Pontian, sejak petang semalam.
Usaha yang sedang giat dijalankan hari ini termasuk menimbus bahan kimia itu menggunakan tanah dan pasir, kata Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Iqbal Raduan.
Beliau berkata stor itu dikenal pasti menyimpan 1,116 beg berisi 558 tan bahan kimia terbabit tapi hanya 24 beg sahaja didapati terbakar manakala beg-beg yang tidak terbakar telah dibawa keluar dari stor dan diletakkan di kawasan selamat dalam kawasan kilang itu.
”Setiap beg itu berisi 500 kilogram bahan kimia berkenaan. Pada 11.30 pagi tadi, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) membuat kerja-kerja nyahcemar dengan teknik ‘menyelimut’ kebakaran terbabit menerusi cara menimbus menggunakan tanah dan pasir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Iqbal berkata buat masa ini, bomba sedang menunggu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membuat pelupusan bahan kimia tersebut.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini manakala punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat.
Katanya setakat 3.30 petang ini, operasi pemadaman terbabit juga masih diteruskan.
Malam tadi, Iqbal dilaporkan berkata Pusat Gerakan Operasi Bomba Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran itu menerusi talian MERS 999 pada 3.59 petang semalam.
Beliau berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru dengan kekuatan seramai sembilan anggota dan dibantu tujuh anggota HAZMAT dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
Katanya, sejurus tiba di kawasan itu semalam, bomba mendapati bahan tersebut tidak boleh dipadamkan dengan air kerana bahan tersebut akan terbakar apabila bertindak balas dengan air.
Pemadaman, bagaimanapun, dibuat dengan menggunakan alat pemadam api sebagai tindakan awal.
Sumber : Bernama