Boleh Buat Sendiri Di Rumah, Ini Resipi Mudah “Hot Honey Garlic Chicken Tenders”
Adakala selepas seharian yang panjang dan melelahkan, yang kita perlukan hanyalah satu hidangan yang mampu menaikkan mood.
Walaupun pilihan makanan di luar semakin banyak, ramai tetap gemar menyediakan sesuatu yang sedap di rumah.
Kini, ‘chicken tenders’ menjadi pilihan ramai kerana sedap, mudah, dan jauh lebih ringkas untuk disediakan daripada yang disangka.
Justeru, SK hari ini akan kongsikan satu resipi ‘hot honey garlic chicken tenders’ daripada pengguna akaun TikTok @Hamdan Mubarak yang mudah untuk disediakan di rumah tanpa perlu membeli di kedai.
Bahan-bahan yang perlu disediakan
Penyediaan hidangan ‘hot honey garlic chicken tenders’ ini sebenarnya cukup ringkas.
Menurut @Hamdan Mubarak, anda cuma memerlukan ayam bahagian dada yang dipotong memanjang serta tepung goreng serbaguna.
Manakala untuk membuat sos pula, anda perlukan mentega, setengah cawan hot sauce, setengah cawan madu, empat ulas bawang putih yang dicincang halus
Selain itu, setengah sudu kecil serbuk paprika dan sudu kecil serbuk cayenne juga diperlukan sebagai penambah rasa.
Cara membuat “hot honey garlic chicken tenders”
Untuk menyediakan hidangan ini, mulakan dengan menyediakan adunan tepung serbaguna, kemudian tambah air sedikit demi sedikit sehingga mendapat tekstur yang sedikit likat.
Selepas itu, masukkan potongan ayam bahagian dada yang telah dipotong memanjang ke dalam adunan tepung tersebut.
Difahamkan, ayam perlu diperap dalam adunan ini selama 10 minit hingga setengah jam agar rasa perapan meresap dengan sempurna.
Sementara menunggu, sediakan mangkuk berisi tepung kering. Bila ayam dah diperap, keluarkan dan salutkan dengan tepung sehingga semua bahagian ayam rata.
Kemudian, panaskan minyak dan goreng ayam yang telah disalut tepung tadi sehingga keemasan dan rangup.
Sos ‘honey hot garlic’
Bagi sos pula, cairkan sedikit mentega dalam kuali panas. Kemudian, tumis empat ulas bawang putih yang telah dicincang sehingga naik aromanya.
Masukkan setengah cawan madu, setengah cawan hot sauce, setengah sudu kecil serbuk paprika dan setengah sudu kecil serbuk cayenne.
Pastikan api dikecilkan supaya sos tidak hangus semasa digaul. Setelah sos sebati, masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul rata sehingga keseluruhan ayam disaluti sos dengan sempurna.
Akhir sekali, boleh taburkan bijan di atas ayam sebagai hiasan sebelum dihidang.
BACA: Mudah Je, Ini Resipi Kek Pisang “Double Chocolate” Yang Memikat Selera
Sumber: @Hamdan Mubarak via TikTok