
Pelakon komedi popular, Jim Carrey membuat pendedahan mengejutkan apabila mengakui bahawa beliau akan bersara daripada dunia lakonan tidak lama lagi, ketika menjadi tetamu dalam rancangan temu bual, Access.
Bintang Hollywood itu berkata, dia memikirkan perkara tersebut memandangkan ketika ini dia sudahpun berehat panjang daripada sebarang aktiviti seni. Walaupun begitu katanya, dia tidaklah menutup rapat pintu untuk kembali berlakon, namun ia memerlukan sebuah naskah yang cukup bagus dari mana-mana pengarah untuk membuatkan dirinya kembali ke layar perak.
”Apabila kamu mendapati rakan-rakan yang lain mengambil keputusan yang sama semasa wabak Covid-19 melanda dunia, kamu melihat mereka menghabiskan masa bersama keluarga masing-masing.
”Mereka benar-benar menikmatinya dan membuatkan mereka berfikir semula hal-hal yang menjadi keutamaan dalam hidup ini.
Beliau kemudian memberikan perumpamaan menarik apabila menyebut bahawa sekiranya ada ‘malaikat’ yang membawa turun satu naskah yang ditulis dengan dakwat emas dan nafkah itu benar-benar perlu ditonton oleh orang ramai, maka dia mungkin akan kembali sekali lagi. Namun, buat masa ini, dia benar-benar menikmati waktu rehat yang diambilnya.
“Saya suka dengan kehidupan yang tenang dan saya sangat suka (hobi) melukis di atas kanvas. Saya juga menikmati perjalanan spiritual yang saya lalui ketika ini. Mungkin anda tidak akan pernah mendengar mana-mana selebriti menyebut ini tetapi bagi saya “Cukup, saya sudah lakukan segalanya. Cukuplah,” katanya lagi.
Jim Carrey atau nama sebenarnya James Eugene Carrey yang berusia 60 tahun ini telah membawa pelbagai watak ‘lucu’ melalui penampilan dalam lebih 30 filem. Antara filem popularnya yang sering menjadi tontonan hingga sekarang adalah ‘The Mask’, ‘Ace Ventura’, ‘Dumb and Dumber’,’Kick Ass’ dan ‘Sonic the Hedgehog’.
Terbaru, filem ‘Sonic the Hedgehog 2’ akan ditayangkan tidak lama lagi. Filem ini mungkin menjadi filem terakhir beliau beraksi dan filem pertama daripada ‘cuti rehat’ yang panjang.
Sumber: Comicbook
Baca juga:Pengeluaran Khas KWSP: Ahli Perlu Pastikan Akaun Penuhi 3 Syarat Ini, Mudahkan Proses Pembayaran