Pelakon Korea Selatan, Kim Mi Soo dilaporkan telah meninggal dunia di usia 31 tahun.
Menurut Soompi, berita mengenai kematian pelakon itu telah disahkan oleh agensinya, Landscape Entertainment menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.
“Kami ingin menyampaikan berita sedih dan menyayat hati. Kim Mi Soo telah meninggal dunia pada 5 Januari.
“Kami benar-benar meminta anda semua untuk mengelak daripada membuat sebarang khabar angin atau laporan spekulatif untuk menghormati keluarga mendiang,” kata Landscape Entertainment.
Tambah agensi itu lagi, majlis pengebumian akan diadakan secara tertutup bagi menghormati permintaan keluarga mendiang.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai punca kematian pelakon itu tidak didedahkan.
Pemergian itu mengejutkan ramai pihak terutamanya apabila drama terbaru Kim Mi Soo, ‘Snowdrop’, masih lagi sedang ditayangkan.
Mendiang juga muncul dalam banyak drama lain yang terkenal seperti ‘Hi Bye Mama’, ‘The School Nurse Files’ dan ‘Yumi’s Cells’.
Sumber: Soompi