
Wira aksi dalam filem ‘Die Hard‘, Bruce Willlis umum bersara daripada industri lakonan selepas didiagnos menghidap penyakit Afasia.
Dalam satu perkongsian daripada laman Instagram milik keluarganya, mereka telah mengesahkan dia mengalami beberapa masalah kesihatan.
Malah baru-baru ini pula, dia telah didiagnosis dengan penyakit afasia yang akan memberi kesan kebolehan kognitifnya.
“Susulan daripada itu, Bruce meninggalkan kerjayanya yang sangat bermakna untuk dirinya.
“Ini adalah masa yang sangat mencabar untuk keluarga kami dan kami sangat menghargai sokongan berterusan yang anda berikan.
“Kami akan harungi situasi ini dengan kuat. Kami ingin memberitahu bahawa peminatnya sangat bermakna untuknya,” tulis ahli keluarga di Instagram.

Pelakon aksi yang berusia 67 tahun ini terkenal dalam rancangan TV Moonlighting sebelum melangkah sebagai bintang aksi.
Selain daripada filem ‘Die Hard‘, beliau juga pernah beraksi dalam filem Pulp Fiction, The Fifth Element, The Last Boy Scout, Twelve Monkeys, The Sixth Sense, Looper dan Moonrise Kingdom.
Willis pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Demi Moore selama 23 tahun dan mempunyai tiga orang anak perempuan.
Namun, jodoh mereka tidak berpanjangan. Pelakon ini sekali lagi berkahwin dengan isteri (sekarang), Emma Heming Willis dan memiliki dua orang anak perempuan.
Menurut The Guardian, lapan filem terakhirnya akan ditayangkan pada tahun 2022 dan 2023.
Menurut perkongsian daripada Hello Doktor, penyakit Afasia adalah keadaan yang merosakkan kemampuan anda untuk berkomunikasi. Ia boleh menjejaskan keupayaan anda untuk bercakap, menulis dan memahami bahasa, sama ada secara lisan mahupun bertulis.
Afasia biasanya berlaku dengan tiba-tiba selepas strok atau kecederaan di kepala. Tetapi ia juga boleh bermula secara beransur-ansur dari tumor otak yang semakin berkembang atau penyakit yang menyebabkan kerosakan kekal (degeneratif) yang progresif. Darjah kecacatan adalah ditentukan oleh tahap kerosakan otak dan apa penyebab yang menjadi punca keadaan ini.
Sumber: TheGuardian