
BINGKAS 3.0: Anak Tanggung Ibu Bapa Warga Emas Layak Terima RM300 Sebulan
Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS 3.0) yang bermula Julai depan membolehkan ketua isi rumah yang menanggung ibu bapa warga emas layak menerima bantuan RM300 sebulan.
Menurut EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, syarat tambahan itu diperkenalkan sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini khususnya dalam kalangan penduduk bandar.
“BINGKAS 2.0 akan tamat pada Jun. Untuk fasa seterusnya, kita akan tambah syarat baharu bagi membolehkan anak susah dan menanggung ibu bapa layak terima bantuan RM300 sebulan.
“Walaupun Kerajaan Negeri ada sediakan baucar beli-belah RM150 kepada warga emas menerusi Skim Mesra Usia Emas, namun ada yang masih bergantung kepada anak-anak. Jadi kita mahu bantu isi rumah ini,” katanya seperti dilapor Media Selangor.
Untuk makluman, BINGKAS sebelumnya diperkenalkan kepada keluarga yang berpendapatan bawah RM5,000 sebulan dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tanggungan di bawah 18 tahun.
Selain itu, pemohon perlu merupakan warganegara Malaysia dan telah bermastautin lebih 10 tahun di Selangor.
“Walaupun BINGKAS tak mampu selesaikan masalah kos hidup, namun sekurang-kurangnya ia membantu keluarga berpendapatan rendah. Setakat ini kita kekalkan jumlah penerima seramai 30,000 keluarga.
“Selain BINGKAS, inisiatif MamaKerja yang menawarkan bantuan kewangan RM100 sebulan selama setahun kepada ibu bekerja juga menjadi langkah meringankan kos beban penduduk bandar,” tambahnya.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Selangor merekodkan kos kehidupan tertinggi bagi semua kategori isi rumah dengan 92.0 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1).
Laporan itu turut menyebut Shah Alam mencatatkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) tertinggi bagi peringkat ibu negeri. Manakala, Petaling berada di kedudukan tertinggi bagi peringkat daerah pentadbiran.
BACA: Sejumlah Kenderaan Terjejas Selepas Isi Minyak, Petronas Dagangan Hubungi Pelanggan Terlibat
Sumber: Media Selangor