Bina Kewangan Awal: Anak Muda Perlu “JOMO” Bukan “FOMO”
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) — Masyarakat khususnya anak muda perlu mengubah cara berfikir daripada “dapat gaji, belanja” kepada pendekatan lebih berhemat “dapat gaji, bina kewangan” bagi membentuk generasi celik kewangan dalam membina masa depan yang stabil dan terjamin.
Pakar kewangan turut melahirkan kebimbangan terhadap trend yang semakin merisaukan dalam kalangan belia, khususnya golongan muda profesional di kawasan bandar yang cenderung berbelanja melebihi kemampuan demi memenuhi kehendak dan kepuasan segera.
Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) melaporkan daripada 119,297 kes kebankrapan yang masih aktif hingga Jun 2025, sebahagian besar kes melibatkan individu berusia antara 35 hingga 44 tahun, iaitu 10,336 kes atau 39.7 peratus.
Pegawai Insolvensi Utama Bahagian Kebankrapan MdI, Zarina Alias berkata statistik dari 2021 hingga Jun 2025 turut menunjukkan sebanyak 26,060 kes baharu didaftarkan dan kesemua ini masih dalam pentadbiran jabatan berkenaan.
Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin, berkata laporan terkini daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih berada pada paras membimbangkan, terutama dalam pengurusan simpanan dan keupayaan menghadapi kecemasan.
Menurut beliau, paradigma FOMO (Fear of Missing Out) perlu digantikan dengan JOMO (Joy of Missing Out), yang mendatangkan kepuasan kerana membuat keputusan berdasarkan nilai dan matlamat peribadi.
Beliau turut menyarankan pembahagian pendapatan bulanan mengikut kategori asas:
50% untuk keperluan (sewa, bil, pengangkutan)
30% untuk kehendak (hiburan, pakaian)
20% untuk simpanan dan pelaburan, termasuk dana kecemasan
Beliau menyarankan juga simpanan berasingan mengikut tujuan seperti pendidikan, kecemasan, dan ibadah.
Platform seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), dan akaun Tabung Haji (TH) dicadangkan kerana pulangan stabil dan patuh syariah, sesuai untuk simpanan pendidikan dan ibadah seperti haji.
Felo Majlis Belia Malaysia, Adli Amirullah, menekankan konsep qanaah (rasa cukup) dan wasatiyyah (keseimbangan), menerapkan budaya kewangan yang beretika dan mampan. Belia diajak bukan sahaja menyimpan untuk diri tetapi juga membantu orang lain, serta menabung untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim pula menasihatkan golongan muda supaya bermula menyimpan secara konsisten – contohnya RM 50 sebulan untuk tabung haji, melalui auto‑debit – sebagai langkah ke arah impian menunaikan haji.
— BERNAMA