Pengasas Microsoft, Bill Gates beri amaran bahawa pandemik seterusnya mungkin muncul melalui virus yang sudah kita ketahui, lapor RT dalam temu bual dengan El Diario Ahad lalu.
Dalam perbualan itu, salah seorang bilionair terkenal dunia itu turut menjelaskan bahawa terdapat 50 peratus kemungkinan wabak baharu itu bakal muncul dalam tempoh 20 tahun.
Menurut Bill, sebagai tambahan kepada virus yang sudah diketahui, ia mungkin boleh menjadi agen bioteror buatan manusia atau “sesuatu yang mengubah dari dunia semula jadi” akibat perubahan iklim.
Sehubungan itu, Bill menumpukan usahanya dalam membuat kajian mengenai vaksinasi dan perubahan iklim sebagai persediaan menghadapi kemungkinan tersebut.
Untuk mencegah wabak seterusnya, Bill mencadangkan agar sekumpulan pasukan pakar seramai 3,000 orang ditubuhkan, di samping negara perlu berbelanja berbilion-bilion wang untuk menyelidiki patogen yang berpotensi seperti yang dikatakan dalam bukunya yang diterbitkan awal bulan ini.
Pasukan petugas yang diberikan nama GERM (Global Epidemic Response and Mobilization) itu akan dibiayai melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memerlukan dana tambahan RM4.3 bilion setahun.
Difahamkan, tambahan dana itu bagi peningkatan belanjawan sebanyak 25 peratus agar ia boleh digunakan secara berterusan bagi mengkaji kemungkinan wabak yang bakal muncul.
Walaupun dunia media sedang sibuk dengan wabak seterusnya yang timbul selepas Covid iaitu cacar monyet, namun jutawan itu menolak teori bahawa ia berpotensi untuk memusnahkan umat manusia.
Bagaimanapun menurutnya, peluang untuk wabak baharu itu muncul didakwa adalah sangat kecil. Namun, beliau tidak menyangkal bahawa penyakit itu boleh menjadi sesuatu yang lebih teruk.
Ketika ini, negara-negara Eropah sedang dilanda wabak cacar monyet yang kian meningkat kesnya yang difahamkan berpunca daripada hubungan homoseksual dan biseksual.
Terdahulu, pada tahun 2015, Bill gates telah meramal bahawa “dunia tidak bersedia dengan pandemik akan datang”. Perkara itu telah membuatkannya menjadi tumpuan media walaupun beliau tidak mempunyai mana-mana kelulusan seperti ijazah dan latihan perubatan.
Sumber: RT news