Ibu pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang terletak di Petaling Jaya mengalami gangguan teknikal di bilik server sejak jam 10 pagi pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan media, MetMalaysia memaklumkan bahawa Bomba telah datang untuk mengenal pasti punca gangguan teknikal tersebut. Laporan lanjut punca kejadian akan dimaklumkan kemudian oleh pihak Bomba.
Susulan kepada gangguan teknikal di bilik server ini, capaian awam terhadap laman web (www.met.gov.my), (mygempa.met.gov.my) dan aplikasi myCuaca tergendala sehingga diberitahu kelak.
Justeru, hebahan maklumat terkini mengenai cuaca akan dimaklumkan melalui laman media sosial Facebook, lnstagram dan Twitter.
Demi memastikan kelangsungan perkhidmatan Jabatan Meteorologi Malaysia, Pasukan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan (PKP) sedang berusaha untuk menangani krisis ini agar semua perkhidmatan Jabatan dapat berfungsi seperti sediakala dengan secepat mungkin.
Jelasnya lagi, perkembangan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Pusat Komunikasi Krisis yang telah diwujudkan.


BACA: “Awak Bawa Kawan Awak Ke Sini,” Polis Siasat Suara ‘Garang’ Dalam Video Terakhir Tangmo
Sumber: MetMalaysia