Kredit: Financial Time

Bilangan Negara Eropah Tangguh Guna Vaksin AstraZeneca Bertambah, Kini Itali & Iceland Turut Ambil Langkah Serupa

Nur Adnin

Beberapa negara Eropah dilapor mula menangguhkan pengambilan vaksin COVID-19 AstraZeneca, termasuk antara yang terkini iaitu Itali.

Merujuk laporan semasa Anadolu, Agensi Perubatan Itali (IMA) melaksanakan larangan pengambilan vaksin tersebut selepas sebilangan besarnya didakwa berkait dengan kesan sampingan serius.

“Larangan itu mensasarkan kumpulan penerima ABV2856 dan pihak kami mungkin akan pertimbangkan langkah-langkah tambahan jika diperlukan, dalam kerjasama bersama Agensi Perubatan Eropah (EMA),” maklum agensi itu.

Difahamkan, terdapat dua penerima daripada kumpulan tersebut dilaporkan maut setelah divaksinasi, namun punca kematian sebenar masih dalam siasatan.

Sebelum ini, Denmark mengisytiharkan negaranya menangguhkan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca ekoran kebimbangan kejadian kes darah beku yang dilaporkan berlaku dalam kalangan penerima vaksin berkenaan.

Malah salah seorang daripada penerima di negara itu dilaporkan mengalami pembekuan darah yang serius dipercayai sehingga meninggal dunia.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan Norway juga bertindak sedemikian rupa untuk menangguhkan vaksinasi keluaran Oxford itu.

Vaksin COVID-19 AstraZeneca merupakan vaksin yang dihasilkan oleh Oxford. Difahamkan engambilannya lebih berfokus kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Sumber: Anadolu / Global News / Financial Time / CNN / WHO