
Bibir Nampak Gelap, Ini 5 Rahsia Natural Untuk Bibir “Pink”
Bibir merupakan bahagian lembut di bahagian luar mulut yang berfungsi bukan sahaja untuk bercakap dan makan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam ekspresi wajah.
Ia antara ciri pertama yang orang lain perasan ketika kita berkomunikasi, menjadikan bibir sebagai salah satu daya tarikan semula jadi seseorang.
Sebab itulah bibir perlu dijaga agar kekal sihat dan nampak menarik.
Namun begitu, tidak semua orang memiliki warna bibir yang cerah atau sekata.
Ada yang mengalami masalah bibir gelap akibat pendedahan cahay matahari, tabiat merokok, pengambilan kafein berlebihan atau kurang penjagaan harian.
Masalah ini boleh menjejaskan keyakinan diri, terutama apabila bibir kelihatan kusam atau pucat.
Justeru, kali ini SK akan berkongsi lima cara semula jadi untuk memastikan bibir berwarna merah jambu, menurut Hello Doktor.
5 cara memerahkan bibir hitam secara semula jadi
Bibir yang lembut, nampak penuh dan berwarna merah jambu merupakan impian ramai orang.
Walau bagaimanapun, bukan semua orang mampu memiliki bibir yang cantik seperti apa yang kita lihat pada kaca televisyen.
Sebenarnya, sama seperti penjagaan wajah, bibir juga perlulah dijaga dengan sempurna. Jangan fokus 100% pada kulit wajah semata-mata. Bibir kita juga penting ya!
Antara cara memerahkan bibir yang boleh anda lakukan sendiri di rumah ialah:
1. Minum air dengan mencukupi
Pastikan anda minum air dengan mencukupi sebelum mencuba sebarang tip yang bakal kami kongsikan di bawah.
Salah satu punca utama bibir menjadi kering dan merekah ialah kurangnya hidrasi.
Oleh sebab itu, pastikan anda minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Ia bukan sahaja baik untuk bibir, kulit anda juga pasti akan merasai kesannya.
Selain itu, anda juga boleh memakai pelembap bibir yang mengandungi SPF untuk perlindungan daripada selaran matahari.
2. Cara memerahkan bibir menggunakan skrub gula
Skrub gula merupakan antara cara paling mudah untuk memastikan bibir sentiasa lembut dan berwarna merah jambu.
Jangan beli produk yang mahal-mahal. Sebenarnya, anda boleh DIY sendiri skrub gula di rumah. Campurkan 2 sudu teh gula dan 1 sudu teh madu. Skrub bibir secara perlahan-lahan.
Sebelum tidur, skrub dahulu bibir dengan gula. Kemudian, pakai pelembap bibir. Pada keesokan pagi, gunakan berus gigi anda untuk tanggalkan sel-sel kulit mati pada bibir.
Amalan ini bukan sahaja akan membuatkan bibir anda nampak lebih sihat, ia juga dapat meningkatkan peredaran darah pada kawasan bibir supaya ia nampak segar dan berwarna merah jambu.
3. Gunakan aloe vera dan madu
Campurkan 1 sudu aloe vera dan 1 sudu madu. Sapukan pada bibir. Biarkan selama 15 minit dan bilas denga air biasa.
Aloe vera dan madu merupakan bahan yang dapat menyegarkan dan melembapkan bibir.
Ia dapat membuatkan bibir nampak lembut dan sihat sekiranya digunakan dalam satu tempoh masa yang panjang.
4. Pakai minyak vitamin E sebagai cara memerahkan bibir
Vitamin E merupakan pelembap yang sangat baik untuk bibir. Penggunaannya sangat ideal untuk mengurangkan masalah bibir kering dan merekah.
Di pasaran, ada banyak produk yang mengandungi vitamin E. Produk ini dapat membantu memastikan bibir lebih sihat dan berwarna merah jambu.
Selain itu, ia juga dapat mengurangkan garis-garis halus yang terbentuk pada permukaan bibir.
5. Jangan lupa pakai sunscreen
Menurut kajian, hanya 37% pengguna pelindung matahari akan menyapukannya pada kawasan bibir.
Pendedahan terhadap cahaya matahari boleh menyebabkan bibir menjadi kering dan mengalami hiperpigmentasi.
Untuk mengurangkan masalah ini, anda boleh gunakan pelindung matahari sedia ada pada kawasan bibir atau beli pelembap yang mengandungi SPF.
Sebelum cuba, ingat beberapa perkara tentang penjagaan bibir menerusi tips jaga bibir ini:
Jangan jilat skrub gula walaupun rasanya manis. Air liur boleh menyebabkan bibir menjadi lebih kering.
Penggunaan pelembap boleh menyebabkan bibir menjadi kusam. Oleh sebab itu, pilih produk yang tidak mempunyai terlalu banyak bahan. Anda juga boleh pakai lip balm yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi sebagai penjagaan bibir.
Elakkan menjilat bibir dengan kerap untuk melembapkan bibir.
Pakai pelindung matahari. Ia bukan sahaja dapat melindungi kulit wajah daripada sinaran UV, bibir anda juga sama!
Jika bibir anda gelap disebabkan genetik, cara semula jadi mungkin tidak berkesan.
Kurangkan kopi dan berhenti merokok sebagai tips jaga bibir.
Jangan gunakan produk yang sudah tamat tempoh.
BACA: Pakar Dedah 5 Tabiat Harian Yang Boleh Rosakkan Otak Manusia
Sumber: Hello Doktor