Biasanya Diliputi Salji, Kini Kutub Utara Menghijau Ketika Musim Sejuk
Biasanya, musim sejuk di Kutub Utara menyajikan pemandangan putih yang memukau dengan permukaan bumi yang diselaputi ais dan salji sejauh mata memandang.
Namun, keadaan itu semakin berubah. Sekumpulan saintis dari London yang menjalankan ekspedisi ke Svalbard (wilayah Norway dalam Lingkaran Artik) pada Februari hingga awal Mac 2025 melaporkan perubahan besar yang sangat mengejutkan.
Mereka menyaksikan suhu yang terlalu tinggi, salji mencair di mana-mana dan tumbuhan mula tumbuh walaupun musim sejuk belum berakhir.
Suhu semakin tinggi di kawasan paling sejuk dunia
Dr James Bradley, saintis dari Queen Mary University of London yang mengikuti ekspedisi itu, berkata mereka sangat terkejut apabila berdiri di kolam air yang terbentuk di hadapan glasier, dan melihat tanah tundra yang sudah tidak dilitupi salji.
“Saya rasa seperti berada dalam dunia yang berbeza. Perubahan iklim sedang berlaku lebih pantas daripada yang kita jangka,” katanya sambil menyeru agar tindakan segera diambil untuk mengurangkan pemanasan global.
Di Ny-Ålesund, kawasan yang sangat hampir dengan Kutub Utara, suhu purata untuk Februari 2025 ialah -3.3°C. Ini jauh lebih panas berbanding suhu purata biasa sekitar -15°C bagi bulan yang sama.
Ais cair, salji jadi hujan
Disebabkan suhu yang panas, air dari ais dan salji yang mencair berkumpul menjadi tasik kecil. Tanah yang biasanya beku keras menjadi lembut dan boleh digali dengan sudu.
Lebih pelik, salji tidak turun seperti biasa. Sebaliknya, hujan turun, sesuatu yang sangat luar biasa untuk musim sejuk di kawasan Artik.
Pakaian musim sejuk tebal yang mereka bawa menjadi tidak sesuai lagi. Malah, ada ketika mereka boleh bekerja tanpa memakai sarung tangan.
Tumbuhan tumbuh, kehidupan aktif kembali
Saintis juga melihat tumbuh-tumbuhan mula tumbuh dari tanah yang sepatutnya masih beku. Warna hijau mula kelihatan, seolah-olah musim bunga sudah tiba.
Aktiviti mikroorganisma di tanah juga meningkat, menunjukkan kehidupan kembali aktif lebih awal dari biasa.
Penduduk & alam sekitar terancam
Perubahan musim sejuk yang panas ini bukan sahaja pelik, malah berbahaya.
Di Svalbard, komuniti manusia dan infrastruktur mereka terdedah kepada risiko tanah runtuh salji (avalanche) kerana timbunan salji yang semakin tidak stabil.
Pasukan saintis juga bimbang dengan keselamatan mereka sendiri, dan berpendapat kerja penyelidikan mungkin sukar dijalankan di masa hadapan jika keadaan ini berterusan.
Kutub Utara panas lebih cepat
Svalbard, yang merupakan penempatan paling utara di dunia, kini sedang mengalami pemanasan enam hingga tujuh kali lebih cepat berbanding tempat lain di dunia.
Ini disebabkan fenomena “penguatan Artik”, iaitu apabila ais mencair, permukaan laut yang gelap menyerap lebih banyak haba matahari.
Ini menyebabkan ais mencair lebih cepat, lalu memanaskan kawasan sekeliling dengan lebih teruk.
Penemuan ini menunjukkan bahawa musim sejuk di Artik sudah tidak seperti dahulu. Kawasan yang sepatutnya beku kini menjadi panas dan mencair. Tumbuhan mula tumbuh dan hujan turun menggantikan salji.
Menurut para saintis, ini bukan kejadian pelik atau sekali-sekala. Ia adalah tanda bahawa dunia kita sedang berubah akibat pemanasan global yang berpunca daripada manusia.
“Perubahan musim sejuk di Artik bukan perkara baru, tetapi melihatnya secara langsung membuat kami sedar betapa serius dan cepatnya perubahan ini berlaku. Inilah realiti baru di Artik. Ia bukan lagi seperti dulu,” kata mereka.
BACA: “Saya silap besar…” – Pindah Dari Dubai, Pelajar Antarabangsa Kongsi Pengalaman Mengejutkan Study Di Malaysia
Sumber: Daily Mail UK