
Beto Kusyairy Selamat, Hanya Alami Luka Kecil Selepas Terlibat Kemalangan
Pelakon Beto Kusyairy dilaporkan berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami luka kecil selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara Selatan.
Beto, 43, meluahkan raya syukurnya kerana terselamat dalam kemalangan yang berlaku berhampiran Ladang Bikam pada Isnin lalu itu.
“Saya cuma nak maklumkan keadaan terkini, mungkin ada yang tahu, mungkin ada yang tak tahu. Saya terlibat kemalangan dengan dua penunggang lain.
“Keadaan saya alhamdulillah ok, dah buat x-ray, tak ada yang patah atau retak, cuma ada luka-luka kecil,” ujarnya menerusi satu hantaran video di akaun Instagram miliknya.
Memetik Sinar Harian, seorang lagi penunggang yang turut menyertai Solidarity Ride Free Palestine Wings Motor Gangs Society (WMGS) ASEAN ke Masjid Negeri Perak di Ipoh dilaporkan mengalami kecederaan parah.
“Cuma saya nak minta doakan seorang lagi penunggang, keadaan dia tidak berapa ‘cantik’ (alami kecederaan parah). Jadi saya nak mohon doakan kesihatan beliau, diberikan kekuatan.
“Semoga keluarganya juga kuat hadapi dugaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi video muat naik yang sama, Beto atau Nur Kusyairy Zakuan Osman juga sempat mengingatkan penunggang motosikal lain.
Beliau mengingatkan penunggang motosikal agar sentiasa berhati-hati di jalan raya terutamanya pada musim hujan ini.
“Untuk rider lain, yang nak berjalan jauh atau ke mana-mana. Sekarang tengah musim hujan, jalan licin, jadi mohon berhati-hati,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, kemalangan itu turut melibatkan lima peserta sebuah lagi konvoi skuter.
Katanya, selain dua motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson, lima peserta konvoi skuter Yamaha XMax turut terlibat dalam nahas tersebut.
Difahamkan, konvoi skuter itu dalam perjalanan dari Sepang, Selangor ke Gurun, Kedah.
Susulan kemalangan itu, dua daripada peserta mengalami kecederaan parah, termasuk seorang peserta WMGS yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi.
Ketika kejadian, jentera yang ditunggang Beto dikatakan telah terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
Konvoi itu adalah sebahagian daripada tanda sokongan dan solidariti kepada rakyat Palestin.
BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis
Sumber: Sinar Harian