Polis Sudan telah menahan seekor lembu serta pemiliknya selepas haiwan itu menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, lapor NDTV.
Memetik kenyataan polis, lembu tersebut telah menyerang dan membunuh kanak-kanak itu secara tiba-tiba semasa sedang berlegar berhampiran sebuah ladang pada minggu lalu.
Haiwan tersebut dikatakan sedang menarik bajak ketika kejadian itu berlaku.
Jurucakap polis, Mejar Elijah Mabor, berkata, “Lembu jantan itu kini ditahan di sebuah balai polis di Rumbek Central County.
“Kanak-kanak itu terus dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan seterusnya dibawa pulang untuk dikebumikan.”
Kejadian ini berlaku kurang sebulan selepas seekor kambing biri-biri di negeri yang sama membunuh seorang wanita berusia 45 tahun.
Dalam serangan yang memilukan itu, mangsa telah diserang secara berulang kali di bahagian rusuk oleh kambing tersebut, yang mengakibatkan mangsa meninggal dunia.
Kambing itu berjaya ditahan dan terus dibawa ke Balai Polis Maleng Agok Payam.
Berhubung penangkapan kambing itu, polis menjelaskan bahawa “pemiliknya tidak bersalah tetapi kambing itu adalah suspek yang melakukan jenayah jadi ia patut ditangkap”.
Kambing itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun. Sebaik sahaja dibebaskan, kambing itu juga dijangka akan diberikan kepada keluarga mangsa – selaras dengan undang-undang dan tradisi negara.
Portal Independent melaporkan bahawa sebarang binatang ternakan yang didapati bersalah membunuh manusia secara automatik akan diberikan kepada keluarga mangsa sebagai ganti rugi sebaik ia telah menjalani hukuman yang ditetapkan.
Sumber: NDTV
Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’