Sungguh, di atas muka Bumi, hanya ada dua insan hebat sahaja yang sentiasa percaya dengan kebolehan diri dan tetap tersenyum dengan apa jua pencapaian yang kita berjaya gapai. Hebat atau biasa-biasa sahaja, pada mereka berdua, itulah kebahagiaan terbesar apabila melihat impian kita menjadi realiti.
Siapakah dua insan hebat itu? Tidak lain dan tidak bukan, sudah pastilah ibu dan ayah tercinta, syurga kita di dunia. Merekalah penyokong terbesar dan sumber kekuatan yang memacu kita untuk terus berjaya, dalam apa jua bidang yang kita ceburi.

Pastinya anda pernah mendengar nama Tya Arifin sebelum ini kan? Siapa yang tidak kenal dengan usahawan wanita yang hebat ini. Memiliki perniagaan yang kian berkembang maju, Mutyara yang diusahakan bersama suaminya, Asyraf Khalid, baru-baru ini ada satu kisah yang sungguh menyentuh hati dan sangat menginspirasikan berlaku di Wisma Mutyara.

Tumpah jua air mata mu
Berasal dari Palembang, Indonesia, beliau yang juga pernah bergelar seorang selebriti mengambil keputusan untuk merantau ke Malaysia apabila berkahwin dengan suaminya, yang merupakan anak kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, sekali gus bergelar menantu kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Di bumi asing, jauh dari tanah tumpah darahnya sendiri, sebenarnya bukan mudah untuk beliau membangunkan empayar perniagaan hingga memiliki sebuah wisma sendiri. Justeru, apabila pertama kali si ibu dan ayahnya menjejakkan kaki di wisma berkenaan, tanpa disangka-sangka ayahnya, Arifin Hassan menitiskan air mata kerana terharu dan berbangga melihat sendiri hasil penat lelahnya selama ini berjuang di bumi orang.

Menjadi saksi perjuangan anak sendiri selama 3 tahun, maka tak hairanlah tumpah air mata kegembiraan ayah Tya melihat kejayaan puteri hatinya.
Merangkak-rangkak dahulu sebelum berlari
Jika diingat kembali, Tya berkata ketika perniagaannya baru mula bertapak, beliau hanya mampu menggajikan 2 staf sahaja. Malah, ketika itu mereka hanya beroperasi dari rumah, berbanding hari ini di mana Mutyara sudah pun memiliki wisma perniagaan sendiri.

Enggan mendabik dada dengan apa yang dimiliki hari ini, Tya seterusnya turut merakamkan penghargaan buat keluarga dan seluruh usahawan Mutyara yang bertungkus-lumus menaikkan jenama tersebut sehingga dikenali umum.


Menyambut kehadiran keluarga mertua yang terbang jauh dari Indonesia, suami Tya, Asyraf Khalid yang juga merupakan Pengarah Urusan A Klasse Essentials Sdn Bhd, turut tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan berkongsi detik indah berkenaan di laman Instagramnya.
Jangan sia-siakan hidup anak ibu
Mendapat kasih sayang dan sokongan tidak berbelah bahagi, Asyraf turut mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada kedua-dua orang tua Tya dan menganggap dirinya sangat bertuah kerana dikurniakan keluarga mertua yang sangat baik.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada November 2015. Hasil perkongsian hidup, mereka berdua dikurniakan dengan dua cahaya mata, Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa.

Semoga kisah perjuangan wanita hebat ini bersama suaminya menjadi inspirasi buat semua.