Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba, memaklumkan bahawa pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani swab ujian pengesanan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain di Malaysia.
Menurutnya, sekiranya mereka positif ujian pengesanan COVID-19 atau sekiranya bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.
“Bagi yang positif COVID-19 pula, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan.
“Manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan COVID-19 dan diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, ” katanya.
Sumber: KKMPutrajaya