
Bermula Di Arked MARA, Tukang Jahit Kini Pengasas Butik Busana Raya Ternama
Saban tahun, ketibaan Ramadan dan Aidilfitri pastinya menjadi lubuk rezeki berganda bagi para pengusaha jahitan pakaian.
Tidak kiralah tukang-tukang jahit lelaki mahupun wanita, mereka lazimnya tak menang tangan dari awal pagi hingga lewat malam demi menyiapkan tempahan pelanggan untuk menyambut hari kemenangan bersama insan-insan tersayang.
Sekitar sebulan lagi, Aidilfitri bakal berkunjung tiba, menandakan musim paling mencabar buat kedai jahit.
Lebih-lebih lagi, apabila setiap helai pakaian perlu disiapkan tepat pada waktunya, tanpa mengabaikan kualiti dan keselesaan pemakai.
Begitulah rutin dan pengorbanan yang ditempuhi oleh salah seorang pengusaha seni jahitan tempatan, Zulkifli bin Rahmat, atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Zul.
Hari ini, SK mengajak anda menyelami kisah penuh inspirasi di sebalik perjalanan luar biasanya di bawah segmen Ini Kisah Aku.

Sebagai anak bongsu daripada 10 beradik, Zulkifli yang berumur 50-an, merupakan lepasan Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin, Melaka dalam jurusan Membuat Pakaian Lelaki (sesi 1987 hingga 1989).
Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa pemilik dan pengasas kepada butik baju Melayu eksklusif Dzulldeclassique ini sebenarnya bermula tanpa apa-apa.
Perjalanannya bermula ketika beliau berhijrah seorang diri dari Batu Pahat ke Kajang demi mengejar cita-cita dalam dunia jahitan di tanah perantauan.

Selepas tamat pengajian, Zulkifli bekerja di sebuah kedai jahit milik rakan senior di Arked MARA Kajang pada tahun 1989.
“Pada masa tu saya ibarat sebatang kara. Tak ada saudara-mara, tak ada rumah. Saya tidur di ruang kedai yang sempit dan mandi di tandas bangunan Arked MARA,” kenangnya ketika bekerja di sebuah kedai jahit.
Dengan gaji hanya RM600 sebulan, beliau menetapkan perbelanjaan harian tidak melebihi RM5.
“Pagi nasi lemak RM1, tengah hari dan malam nasi goreng RM2. Baki duit saya simpan sedikit demi sedikit,” katanya.
Sejak itu, tersemat di hatinya untuk memiliki sebuah perniagaan sendiri. Akhirnya pada tahun 1993, beliau memberanikan diri membuka kedai jahit sendiri di bangunan yang sama.
Dua tahun kemudian, apabila perniagaan mula berkembang, beliau berpindah ke lot kedai yang lebih besar di Bandar Kajang.

Walaupun pada awalnya terpaksa berkongsi ruang dengan peniaga lain dan membayar sewa yang jauh lebih mahal, namun di situlah rezeki tertulis apabila namanya mula melonjak naik.
“Pada masa tu tak ada butik pakaian lelaki yang proper di Kajang. Jadi orang mula kenal dan cari saya. Artis, rakan media semua datang. Photoshoot pun buat kat kedai,” katanya.

Menariknya, Zulkifli pernah merasai fenomena tular sebelum kewujudan TikTok dan media sosial.
“Dulu viral mulut ke mulut. Kita keluar majalah URTV, Mangga, Majalah Hai. Customer beratur sampai luar kedai. Sehari boleh ukur sampai 150 orang,” kongsinya.
Menariknya lagi, tempahan yang datang bukan sahaja dari sekitar Lembah Klang, malah dari Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.

Zulkifli mendedahkan bahawa pernah menyiapkan sehingga 6,000 hingga 7,000 pasang baju dalam semusim. Ia satu rekod yang sukar dilupakannya ketika sebelum COVID-19.
“Tak makan, tak minum. Dari pukul 10 pagi sampai malam. Solat je sempat,” katanya.

Namun, setiap kejayaan yang datang tidak hadir tanpa ujian.
Zulkifli berkongsi, pernah berdepan detik hitam dalam hidup apabila dirompak dan ditikam ketika kedainya dipecah masuk.
Beliau juga berkongsi, pernah berdepan dengan situasi pelanggan yang enggan membayar tempahan sehingga hilang tanpa jejak.
Walau diuji bertubi-tubi, beliau tidak pernah terfikir untuk berhenti.
“Selagi sihat, saya akan terus menjahit. Ini dunia saya,” ungkapnya.

Ditanya mengenai pengorbanan terbesar dalam hidup, Zulkifli berkongsi keputusan untuk membeli sebuah bangunan tiga tingkat bagi dijadikan wisma perniagaan merupakan satu pelaburan yang sangat bermakna.
“Saya guna simpanan bertahun-tahun. Kalau tak beli, mungkin sampai sekarang masih menyewa. Harga sewa makin naik, jadi keputusan tu sangat berbaloi,” jelasnya

Bagi Zulkifli, meskipun ketika ini pakaian pasang siap menjadi pilihan ramai di pasaran. Beliau sebaliknya tidak menganggap ia sebagai ancaman, malah suatu peluang.
“Kalau orang dah biasa tempah dari kecil, dia tak mudah tergoda dengan baju murah. Baju tempah lain, ikut badan, ikut citarasa,” katanya.
Beliau percaya setiap bentuk badan orang berbeza-beza, dan baju tempah ini menawarkan kualiti serta keselesaan yang tidak mampu ditandingi pakaian pasang siap.
Sepanjang hampir tiga dekad dalam industri, Zulkifli menyaksikan pelanggan membesar di depan matanya.
“Ada pelanggan datang masa bujang, lepas kahwin bawa anak, sekarang cucu pun datang. Dari customer jadi kawan, jadi macam saudara,” katanya.
Bagi beliau, jahitan bukan sekadar menghasilkan pakaian, tetapi medium membina hubungan yang ikhlas dan berpanjangan.

Tiga dekad bukan tempoh yang singkat, namun itulah garis masa Zulkifli menenun kesabaran dan ketekunan dalam dunia jahitan.
Dari pelanggan biasa hingga artis terkenal, hasil sentuhan tangannya menjadi pilihan ramai sehingga kini, malah menghiasi muka-muka depan majalah fesyen.
Pengiktirafan tertinggi hadir apabila beliau dianugerahkan Anugerah Ikon TVET 2025, membuktikan bahawa benang yang dijahit dengan ikhlas mampu membentuk sebuah legasi yang dikenang.

Namun, bagi beliau, kejayaan sebenar ialah apabila pelanggan terus mempercayai hasil kerjanya.
“Kalau nak berjaya, kena bersungguh. Jangan malu TVET. Saya bermula dari tak tahu apa-apa sampai ke tahap sekarang,” titipnya kepada generasi muda.


Bagi Zulkifli, seni jahitan tidak akan hilang selagi manusia memerlukan pakaian.
“Selagi ada orang Melayu, selagi itu ada Baju Melayu. Kita ikut arus masa, tapi jangan ubah tradisi,” katanya.
Dari tidur di ruang kedai sempit hingga memiliki wisma sendiri, perjalanan Zulkifli Rahmat membuktikan bahawa kejayaan bukan datang dalam sekelip mata.
Ia dijahit dengan kesabaran, disulam dengan pengorbanan, dan disempurnakan dengan kepercayaan pelanggan. Kisahnya adalah bukti bahawa kerja tangan yang ikhlas mampu bertahan merentas zaman.

Buat mereka yang ingin membuat tempahan baju dengan Abang Zul, boleh datang ke kedai yang terletak di Jalan Reko Sentral 2, Kajang.