
Panama merupakan salah satu negara yang sedang menangani rusuhan berserta krisis kewangan. Di sini, kita akan melihat desakan daripada pihak penunjuk perasaan (rakyat) dan maklum balas daripada pihak kerajaan.
Ribuan penunjuk perasaan di Panama telah mengambil tempat mereka di jalanan dalam beberapa minggu ini. Hal ini bertujuan untuk menggesa kerajaan agar meletakkan titik noktah kepada inflasi dan korupsi di negara tersebut.

Presiden Panama, Laurentino Cortizo telah mengumumkan langkah-langkah untuk mengurangkan kos bahan api dan meletakkan had harga barangan dan makanan asas. Walaupun begitu, penunjuk perasaan mengatakan apa yang dikatakan oleh beliau masih tidak mencukupi dan berjanji untuk meneruskan demonstrasi.
Berikut merupakan perkara yang anda patut tahu mengenai sesi tunjuk perasaan yang telah menjadi salah satu rusuhan paling lama berlaku di Panama dalam beberapa dekad.
Rusuhan terbaharu berlaku ketika Panama melawan kadar inflasi sebanyak 4.2 peratus pada bulan Mei; bilangan pengangguran kira-kira 10 peratus; dan peningkatan kos bahan api hampir 50 peratus sejak Januari.
Mengejutkan, guru-guru merupakan kumpulan pertama yang berdemonstrasi pada awal bulan Julai. Kemudian, mereka telah disertai oleh kumpulan lain, termasuklah pekerja binaan, pelajar dan kumpulan orang asal.
Pada mulanya, penunjuk perasaan hanya menggesa pembekuan dan penurunan harga bahan api, had harga makanan dan peningkatan dalam bajet untuk pendidikan, tetapi tuntutan itu semakin meluas. Hal ini termasuklah rundingan nasional untuk menangani rasuah politik dan membincangkan reformasi politik yang lebih besar.
Hal ini diakui oleh seorang pelajar jurusan perubatan, Janireth Dominguez kepada pemberita Al Jazeera.
Di wilayah tengah Veraguas, penunjuk perasaan telah menyekat lebuh raya Pan-Amerika yang menjejaskan akses barangan ke Terusan Panama dari negara Amerika Tengah yang lain. 80 peratus penggunaan lebuh raya itu adalah laluan utama pengangkutan buah-buahan dan sayur-sayuran ke Panama.

Justeru, pakar ekonomi Panama telah memberi amaran bahawa demonstrasi itu telah menyebabkan negara kerugian berjuta-juta dolar dan akan membawa kepada kekurangan bahan api dan makanan. Selain itu, kebanyakan gerai di pasar hasil utama Panama terpaksa tutup awal disebabkan kekurangan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Berikutan sesi tunjuk perasaan yang berlaku, Cortizo telah mengumumkan pengurangan harga bahan api dan rancangan untuk mengehadkan harga 10 bahan asas. Beliau juga telah menyalahkan pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine atas peningkatan kos sara diri.

Pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Cortizo bersetuju untuk mengurangkan lagi harga gas daripada RM17.60 kepada RM14.50 segelen, berbeza dengan Jun iaitu RM23.15 segelen. Akan tetapi, langkah tersebut masih tidak mencukupi untuk menenangkan penunjuk perasaan. Malah, mereka telah menambah sekatan jalan baharu dan berjanji untuk meneruskan bantahan.
Seorang penganalisis politik, Guillermo Ruiz mengatakan bahawa sebahagian daripada masalah itu terletak pada pemulihan ekonomi yang bersifat tidak sama rata untuk pelbagai kelas sosial Panama selepas wabak berlalu.
Sumber:
Al Jazeera
/