Pemberian Insentif Sebanyak RM500 Kepada Bakal Jemaah Haji Dari Keluarga B40 Wilayah Persekutuan Tahun 2024M/1445H
Setiap tahun, bakal jemaah haji yang terpilih berpeluang untuk menunaikan ibadah haji, iaitu salah satu Rukun Islam. Pada tahun ini (2024), seramai 2,200 penduduk Wilayah Persekutuan telah terpilih menjadi tetamu Allah untuk ibadah haji tahun 1445 Hijrah. Jumlah ini merupakan sebahagian daripada 31,600 jemaah haji yang mendapat tawaran menunaikan haji pada tahun ini.
Sehubungan itu, untuk menghargai para jemaah haji Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju dengan pemberian insentif sebanyak RM500 setiap orang kepada 289 bakal jemaah haji dari keluarga B40 Wilayah Persekutuan untuk musim haji tahun 2024M/1445H. Insentif ini disalurkan melalui wang Sumber Am dengan jumlah RM144,500.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Empat Puluh Empat Ribu Lima Ratus Sahaja).
Pengagihan pemberian insentif ini akan disalurkan dengan kerjasama pihak Lembaga Tabung Haji melalui akaun bakal haji yang yang terlibat.
Pemberian ini juga adalah tanda keprihatinan MAIWP kepada kebajikan masyarakat B40 serta mereka yang memerlukan. Ini adalah sebahagian usaha berterusan Kerajaan melalui MAIWP untuk meringankan beban masyarakat serta diharapkan dapat membantu para jemaah haji terlibat.