Berjaya Tioman Resort Rai Ulang Tahun Ke-40 Tahun, Terus Komited Dalam Hospitaliti Mampan
TIOMAN — Berjaya Tioman Resort terus memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan unggul negara apabila menyambut ulang tahun ke-40 penubuhannya, sekali gus menandakan empat dekad kecemerlangan dalam industri hospitaliti tanah air.
Ditubuhkan pada tahun 1985 di bawah naungan Berjaya Group, resort ini telah melalui pelbagai evolusi yang signifikan termasuk penaiktarafan fasiliti, pengalaman tetamu yang lebih peribadi serta pelaksanaan amalan mesra alam secara menyeluruh bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Sambutan ulang tahun ini bukan sekadar meraikan kejayaan masa lalu, malah menjadi cerminan kepada usaha berterusan resort dalam menyediakan kemudahan yang diperbaharui demi keselesaan pengunjung.
Dengan keindahan pantai yang memukau, perairan jernih dan khazanah marin yang menakjubkan, Berjaya Tioman Resort kekal sebagai destinasi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa, khususnya pencinta alam.

Sejak beberapa dekad lalu, resort ini terus komited dalam memastikan amalan hijau dan pemeliharaan alam sekitar menjadi teras operasinya, seiring dengan matlamat pembangunan pelancongan mampan negara.
Ulang tahun ke-40 ini menjadi bukti dedikasi Berjaya Tioman Resort dalam mengekalkan reputasi sebagai antara permata pelancongan negara yang bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi, tetapi juga nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar.