
Berjaya Selamatkan Puluhan Mangsa, Rakyat Libya Hargai Jasa Anjing Pengesan Bernama Ivar
Baru-baru ini negara Libya telah dilanda bencana banjir besar sehingga menyebabkan puluhan ribu terkorban.
Susulan tragedi itu, pelbagai operasi menyelamat telah dijalankan bagi membantu mencari mangsa yang mungkin terselamat.
Ia termasuk pasukan anjing pengesan daripada pasukan keselamatan negara tersebut.
Menerusi sebuah hantaran muat naik perkongsian di TikTok Al Jazeera, seekor anjing bernama Ivar telah mendapat sorakan daripada ratusan penduduk Libya.
Ivar dikatakan telah menyelamatkan berpuluh-puluh orang selepas ribut Daniel melanda negara itu.
Dalam video tersebut, Ivar yang berada di dalam sebuah kereta peronda dilihat telah menerima sorakan dengan penuh bersemangat daripada penduduk sekitar lokasi bencana.
Ivar yang berada di dalam kereta itu melihat menerusi tingkap kenderaan dan turut menyalak memberi respon kepada sorakan penduduk Libya tersebut.
Menerusi video itu lagi, Ivar juga dilihat lengkap berpakaian uniform khas unit anjing pengesan pasukan keselamatan di Libya.
Perkongsian video itu telah mendapat komen yang pelbagai daripada pengguna media sosial tersebut. Antara komen yang ditinggalkan adalah:
“Anjing memang terbaik! Simpati buat rakyat Libya yang sedang melalui situasi mengerikan ini,” tulis seorang netizen.
“Ivar adalah legenda, dia telah selamatkan 30 hingga 60 nyawa. Dia sangat baik dan layak menerima layanan terbaik di dunia,” tulis seorang lagi netizen yang memuji Ivar.
“Kami sayang kamu Ivar. Sekarang masa untuk berehat dan beri dia makanan yang enak,” tambah seorang lagi yang mahukan Ivar berehat selepas penat lelah membantu pasukan penyelamat.
Terdahulu, angka kematian di Libya susulan banjir besar dilaporkan meningkat kepada 11,300 korban, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Memetik AFP, Bulan Sabit Merah Libya di Pejabat PBB menerusi Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan (OCHA) menambah bahawa 10,100 orang lagi masih hilang di bandar berkenaan.
BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas
“Angka kematian itu dijangka meningkat dalam beberapa hari dan minggu akan datang. Dengan pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih terselamat,” maklum OCHA.
Sumber: TikTok/@aljazeeraenglish