
KUALA LUMPUR, 26 April — Berita yang tular di media sosial berkenaan penemuan mayat di dalam longkang tidak berlaku di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), pihak LEKAS memaklumkan.
LEKAS menerusi satu kenyataannya hari ini memohon agar pengguna media sosial lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat agar tidak menyebarkan informasi yang tidak sahih di media sosial.
Media hari ini melaporkan mayat seorang pemuda yang hanya tinggal rangka dengan topi keledar masih lagi di kepala ditemukan dalam longkang di tengah-tengah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata mayat lelaki berusia 20-an yang berasal dari Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka itu ditemukan orang awam di Kilometer 281.8 arah utara lebuh raya itu kira-kira 12 tengah hari sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
“Kejadian ini dipercayai tiada unsur jenayah dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
— BERNAMA