Kepala Batas: Bosan terlalu lama duduk di rumah. Itu alasan diberikan 16 lelaki warga Nepal yang ditahan ketika sedang leka bermain futsal dalam sebuah gudang terbuka di Pekan Darat, di sini semalam.
Kesemua mereka yang leka bermain futsal tidak menyedari kehadiran anggota polis yang sedang melakukan rondaan pemantauan Ops COVID-19 sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata semua mereka berusia 25 hingga 40 tahun itu memaklumkan mengetahui mengenai PKP yang sedang dikuatkuasakan ketika ini, namun memberi alasan bosan disebabkan terlalu lama berada dalam rumah dan keluar bermain futsal.
“Selain 16 lelaki warga Nepal, pemantauan dilakukan di sekitar SPU semalam turut menahan lapan lelaki warga Myanmar berusia 27 hingga 46 tahun yang sedang melepak di sebuah padang di Mak Mandin juga dengan alasan bosan duduk di rumah terlalu lama.
“Kebanyakan warga asing itu bekerja kilang di kawasan tersebut dan saya minta majikan kepada pekerja asing di daerah SPU agar menasihatkan mereka supaya duduk di rumah dan tidak melakukan sebarang aktiviti sepanjang pelaksanaan PKP ini kerana akan dikenakan tindakan tegas,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata pihaknya menahan lapan lelaki tempatan dan lima wanita Vietnam yang sedang berkaraoke serta berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Sejahtera, Bukit Mertajam dalam serbuan semalam.
Beliau berkata polis menerima maklumat terdapat kegiatan di pusat hiburan itu dan semasa serbuan semua pintu dalam keadaan tertutup pihaknya terpaksa masuk melalui pintu bahagian belakang dengan memotong kunci mangga di situ.
“Semua mereka berusia 20 hingga 45 tahun itu sedang berkumpul dan berhibur serta dalam keadaan mabuk ketika serbuan tersebut. Pemeriksaan ke atas lima wanita yang dipercayai pelayan pelanggan (GRO) itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata seorang daripada lelaki tempatan yang ditahan itu adalah pemilik premis tersebut dan dia mendakwa semua mereka adalah rakannya yang hanya datang ke situ untuk berhibur, minum arak serta berkaraoke.
“Kesemua mereka direman untuk siasatan lanjut dan polis akan meneruskan pemeriksaan di premis-premis hiburan dan karaoke yang ada di sekitar daerah SPT,” katanya.
Sumber: Bernama