
LABUAN, 28 Feb (Bernama) — Seorang pendakwah terkenal di sini hari ini menasihati golongan antivaksin agar berhenti menyebarkan maklumat mengelirukan tentang vaksin COVID-19.
Ustaz Muhammad Shafei Abdul Ghani berkata program imunisasi COVID-19 tidak harus dipertikaikan memandangkan angka kematian akibat penyakit itu terus bertambah.
“Kita mesti berikhtiar untuk membendung penularan pandemik ini. Tindakan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan bahawa menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil langkah pencegahan bagi menangani penyakit berjangkit.
“Golongan antivaksin tidak boleh sewenang-wenangnya menolak vaksin ini hanya dengan menyatakan vaksin tersebut diperbuat daripada bahan tidak halal, melainkan mereka mempunyai bukti kukuh bagi menyokong dakwaan mereka,” katanya.
Muhammad Shafie yang juga imam Masjid Layangan hari ini menerima vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Membedai bersama-sama pasukan pengurusan jenazah daripada Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Jumaat lepas, pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani dilaporkan berkata tindakan akan diambil terhadap individu atau kumpulan di sini yang didapati menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat tidak tepat tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
— BERNAMA