Berhenti Lebih Garisan Putih penjara
Kredit Sinar Harian

Berhenti Lebih Garisan Putih Boleh Dihukum Penjara – PDRM

Syed Faisal Sayed Muhammad

Berhenti Lebih Garisan Putih Boleh Dihukum Penjara – PDRM

Pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan mereka melebihi garisan putih dilaporkan boleh berdepan dengan tindakan penjara dan denda, lapor Sinar Harian.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, Op Garisan Putih antara operasi yang dilaksanakan menerusi Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas di seluruh negara.

Menurut Mohd Nasri, salah satu daripada operasi yang dijalankan ialah Kaedah 38 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN166/1959) yang melarang pengguna untuk memberhentikan kenderaan mereka di atas lintasan.

“Ia menyatakan bahawa pemandu kenderaan tidak boleh menyebabkan kenderaan atau mana-mana bahagian kenderaannya berhenti di dalam kawasan lintasan melainkan sama ada dia dilarang daripada bergerak oleh keadaan yang diluar kawalannya atau jika perlu baginya untuk berhenti bagi mengelakkan kemalangan.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya lagi, pengguna jalan raya diingatkan untuk tidak berhenti melebihi garisan putih dan mematuhi segala peraturan lalu lintas.

Berhenti melebihi garisan putih merupakan salah satu punca kesesakan jalan raya

Perbuatan berhenti di atas garisan putih adalah merupakan salah satu punca kepada kesesakan jalan raya.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kemalangan dan mengganggu pengguna jalan raya yang lainnya.

Oleh itu, JSPT menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Pastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi,” ujarnya.

BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma

Pada 28 Julai lalu, JSPT Bukit Aman memaklumkan bahawa terdapat enam operasi khas dilaksanakan bagi mendidik dan memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Enam operasi khas itu adalah Op Lampu Isyarat Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Halangan Lalu Lintas, Op Garisan Putih, Op Parkir Haram dan kempen Op Didik.

PDRM menerusi JSPT akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas semua pengguna kenderaan di jalan raya.

Ia bagi memberikan didikan dan kesedaran untuk pengguna sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas.

Sumber: Sinar Harian