
Berebut Harta Pusaka, Kakak Bertindak Roboh Rumah Adik Kandung
Gara-gara pertikaian harta antara adik-beradik, seorang kakak tergamak membiarkan jengkaut merobohkan rumah didiami adik kandungnya selepas mendapat perintah mahkamah.
Menurut Indopop, kejadian yang berlaku di Madura, wilayah Jawa Timur turut menjadi tular di media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik, dapat dilihat sebuah jentera jengkaut sedang melakukan kerja-kerja merobohkan rumah.
Pemilik video memaklumkan bahawa rumah itu dirobohkan selepas si kakak menang dalam kes perbicaraan melibatkan harta pusaka.
“Ia dilakukan sambil dipantau oleh pihak berkuasa,” katanya.
Tambah keterangan video, secara keseluruhan, terdapat empat binaan yang dirobohkan iaitu tiga binaan rumah dan sebuah dapur.
Difahamkan, si adik dilaporkan sempat merayu supaya kediaman itu tidak dirobohkan. Bagaimanapun, permintaannya ditolak kerana proses pelaksanaan telah pun diluluskan secara sah.
Sumber: Indopop