
Hasil bercinta dengan enam lelaki serentak dalam satu masa selama enam bulan, seorang wanita di China berjaya mengikis ‘poket’ mereka dengan mudah sebanyak RM99,300.
Menurut Oddity Central, wanita tersebut dilaporkan menjalankan aktiviti ‘love scam‘ dengan bercinta seramai enam lelaki pada waktu yang sama.
Tidak cukup dengan itu, malah dia juga turut meraih pujian warganet di media sosial kerana dianggap ‘mahir’ dalam pengurusan masa (dalam memperdaya lelaki).
Wanita yang dikenali sebagai Mao, 42 tahun itu menjadi tajuk utama berita di China selepas berjaya ditangkap oleh pihak polis baru-baru ini.
Menurut laporan, sejak Julai hingga Disember lepas, Mao telah bercinta dengan enam lelaki pertengahan umur secara serentak dalam satu masa.
Walau bagaimanapun, enam lelaki tersebut hanya diperdayakan oleh wanita itu untuk membeli barang-barang seperti telefon pintar, komputer, pakaian dan wang.

Malangnya, modus operandi yang dilakukan wanita terbabit dicurigai oleh salah seorang mangsanya sendiri melalui tingkah lakunya. Lelaki itu memutuskan untuk menyiasat dan akhirnya segala penipuannya terbongkar.
Menurut Daily Economic News, salah seorang mangsa bernama Yu telah bertemu Mao di Yiwu, Wilayah Zheijang pada Ogos tahun lalu.
Dalam pertemuan itu, dia menyamar sebagai orang yang bercerai tanpa anak untuk mencari hubungan yang stabil.
Sejak awal lagi, Yu tertarik dengan kecantikan dan personaliti yang dimiliki Mao. Oleh itu, apa yang diminta oleh wanita itu sanggup diturutinya. Tambahan pula, mereka juga telah membuat perancangan untuk berkahwin.
Namun setiap kali Yu bertanya tentang hala tuju perkahwinan dan mengajak bertemu keluarganya, wanita itu selalu mengelak dengan memberi pelbagai alasan.
Namun disebabkan Mao terlalu cantik, Yu terus tenggelam dalam permainannya dengan terus memberikan pelbagai hadiah dan wang kepadanya.
Ketika Yu memberi wang untuk membeli gaun pengantin dan tempat perkahwinan mereka, wanita itu sekali lagi menolak dan memberikan alasan. Sejak itulah Yu mula curiga.

Selepas mengesyaki ada sesuatu yang pelik, lelaki terbabit meminta semula semua wangnya daripada wanita itu, namun segalanya tidak diendahkan.
Sementara itu, Yu telah menghubungi polis melaporkan tindakan wanita itu. Akhirnya hasil siasatan mendapati, Yu bukanlah mangsa pertama ‘love scam’ Mao.
Polis juga turut mengesahkan bahawa mereka sudah mempunyai bukti-bukti berkaitan kes Mao yang terlibat dalam pelbagai jenayah penipuan ke atas enam lelaki berbeza.
Menurut polis, gara-gara licik menggoda dan memperdayakan kesemua mangsanya, wanita itu berjaya meraih keuntungan sekurang-kurangnya RM99,300 hanya dalam tempoh enam bulan.
Hasil siasatan juga mendapati, Mao telah mendaftar beberapa perkhidmatan temu janji untuk menyasarkan lelaki-lelaki lingkungan pertengahan usia sebagai mangsanya.
Polis China memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan kes penipuan cinta ‘love scam’ seperti ini supaya tiada yang menjadi mangsa seterusnya.
Sumber: Oddity Central