Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir sejak petang Sabtu lalu masih belum dijumpai sehingga ke hari ini.
Mangsa, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, yang berasal dari Dungun, dikatakan baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama isterinya Syarifah Ramli enam hari lalu.
Menerusi perkongsian oleh kakak ipar mangsa, Asma Ramlee, menerusi Facebook, dia meminta semua mendoakan agar urusan pencarian mangsa dipermudahkan.
Kata Asma, ujian tersebut amat berat buat mereka sekeluarga ditambah pula dengan keadaan adiknya yang baru sahaja melayari bahtera rumah tangga bersama suami tercinta.
Berat ujian ni buat kami sekeluarga..
Ya Allah, Engkau permudahkanlah segala urusan pencarian mangsa di sana… Tiada daya upaya kami selain dengan pertolongan-Mu… Dik Bintu Ramlee Al Hafizah, kuat semangat yer dik.. redha dengan segala kemungkinan.
Adik ipar saya lemas di Tasik Kenyir malam tadi, jasadnya masih belum ditemui… baru enam hari diorang kahwin. Berat ujian ni buat kami sekeluarga… Minta kawan-kawan doakan urusan pencarian mangsa dipermudahkan… Aamiin ya rabbal alamin.


Terdahulu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya meenrima maklumat kira-kira 6.20 petang semalam berhubung kejadian yang menimpa mangsa.
Katanya, sebelum kejadian yang berlaku pada 5.50 petang itu, beberapa saksi termasuk ahli keluarga Ami Azzizol melihat lelaki itu berenang dari sebuah rumah rakit ke dalam Sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi.
”Tidak lama kemudian, saksi nampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai dipercayai mengalami kekejangan otot.
”Seorang daripada saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu.
“Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan menurut Bernama.
Sumber: FB Asma Ramlee, Bernama