Berang Tak Bagi Abang Ipar Buka Puasa Sekali, Lelaki Nekad Ceraikan Isteri
Seorang lelaki warga Mesir dilaporkan nekad menceraikan isterinya selepas dia enggan menelefon dan menjemput abangnya untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan, lapor Gulf News.
Wanita itu berkongsi kisahnya di Tahia Masr, sambil berkata bahawa suaminya tidak memberikan privasi di rumah mereka sendiri. Malah mendakwa bahawa abang suaminya itu membawa pengaruh negatif dan punca kepada perpisahan mereka.
Pasangan itu dilaporkan sudah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan dengan seorang anak lelaki dan dua lagi anak perempuan.
Wanita itu meluahkan kebimbangannya tentang hubungan rapat suaminya dengan abangnya yang dipercayai mempunyai sejarah berkahwin dengan banyak dan kerap. Abangnya juga sering menceraikan isteri-isterinya itu.
Wanita yang tidak disebutkan namanya itu takut jika suaminya akan mengikut perangai abangnya lalu memperlakukannya dengan cara yang sama.
Dia juga mendedahkan bahawa suaminya sering berbincang dengan abangnya mengenai setiap butiran kehidupan keluarga mereka. Ini termasuk hal kewangan dan lawatan keluarga mereka.
Didakwa tidak mempunyai privasi yang mencukupi
Kekurangan privasi dan ketidakupayaan suaminya dalam membuat keputusan tanpa cadangan abangnya telah menyebabkan dia berasa kecewa.
Ketegangan semakin memuncak apabila suami wanita itu berkeras untuk menjemput abangnya dan isteri baharunya menyertai mereka untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.
Bosan dengan kehadiran abang iparnya secara berterusan, wanita itu sempat meminta untuk mereka menghabiskan hari mereka bersendirian bersama keluarga sahaja. Suaminya tidak bersetuju malah cuba memaksanya untuk menjemput abangnya sendiri.
Sebagai tindak balas, si isteri yang enggan mendengar kata-kata suaminya itu telah dihalau balik ke rumah keluarganya.
BACA: Kata Nak Tengok Je, 5 Punca Ramai Tak Nak Keluar Dari Tempat Ni, Normal Kalau Suami Kena Sidai
Suami wanita itu juga turut mengatakan bahawa isterinya itu bukan orang yang baik malah akan menceraikannya.
Tiga minggu selepas kejadian tersebut, wanita itu akhirnya menerima surat cerai. Keputusan itu telah mendorong wanita tersebut untuk membawa kesnya ke mahkamah keluarga, untuk mendapat hak penjagaan anak-anak.
Kerana wanita itu percaya bahawa dia berhak untuk mendapatkan hak penjagaan tiga anaknya itu.
Sumber: Gulf News