
Polis berjaya menahan seorang lelaki yang didakwa membunuh rakannya hanya kerana mangsa enggan berhenti menyanyi, lapor Kompas.com
Dalam kejadian yang berlaku di Kendari, Sulawesi Tenggara itu, lelaki tersebut difahamkan sedang beristirehat bersama dua lagi rakannya sebelum dihubungi oleh mangsa.
Pada awalnya, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 39 tahun telah menghubungi salah seorang rakan suspek untuk berkumpul bersama mereka tetapi ditolak.
Namun begitu, suspek secara tiba-tiba merebut telefon bimbit rakannya dan mengatakan bahawa mangsa boleh berkumpul bersama mereka.
Tidak lama kemudian, mangsa tiba di rumahnya dan terus membuka telefon untuk menyanyi sambil diiringi muzik dari aplikasi YouTube.
Suspek dipercayai melarang mangsa menyanyi kerana sudah masuk waktu Subuh pada ketika itu.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan larangan tersebut.
Difahamkan, suspek kemudian memberikan amaran kepada mangsa dengan menyatakan bahawa, jika mangsa terus menyanyi maka dia akan ditikam.
Mangsa dikatakan tidak takut mendengar gertakan itu dan mencabar suspek untuk menikamnya jika berani.
“Kemudian suspek berlari ke dapur dan datang semula dengan membawa sebilah pisau dapur sebelum segera menikam mangsa di pinggang kiri.
“Selepas itu, suspek terus melarikan diri menggunakan motosikal,” kata pegawai polis Kendari, AKP Fitrayadi.
Selepas menikam mangsa, suspek terus melarikan diri dan mangsa yang cedera telah dibantu oleh seorang penduduk susulan kejadian itu.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dr Ismoyo Kendari untuk mendapatkan bantuan perubatan.
“Tetapi sebelum tiba di hospital, mangsa sudah meninggal dunia. Motif kejadian hanyalah salah faham,” kata Fitrayadi.
Sementara itu, suspek telah diberkas di sebuah rumah di BTN Puuwatu Indah Permai di Jalan Pulau Lombok, Kendari.
Atas tindakannya itu, suspek akan didakwa di mahkamah dan jika didapati bersalah, dia bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama tujuh tahun.
Sumber: Kompas.com