
Seorang pemilik sebuah kereta sport mewah telah memfailkan saman ganti rugi sebanyak 100,000 baht (RM12,737) ke atas jirannya selepas seekor kucing milik keluarga jirannya memanjat dan mencalarkan dua biji kereta mewah miliknya.
Pemilik kucing tersebut memuat naik sebuah video di akaun TikTok @pattarawadeephumipak, yang menyatakan bahawa jirannya menuntut wang pampasan kerana telah membiarkan ‘haiwan liar dan ganas’ tersebut keluar dari rumah dan menyebabkan kerosakan pada harta benda orang lain.
Pemilik kucing tersebut menyatakan yang dia sanggup membayar untuk kerosakan calar yang dilakukan oleh kucingnya, tapi pada harga yang berpatutan.
Menurut laporan The Thaiger, kejadian yang mengambil tempat pada Oktober 2020 terjadi apabila seorang kanak-kanak secara tidak sengaja membiarkan kucing peliharaan mereka keluar dari rumahnya.
Petang itu, pemilik kereta mewah tersebut telah menghantar video daripada kamera litar tertutup (CCTV) mereka yang menunjukkan haiwan peliharaan jirannya itu sedang duduk di atas kereta mewah tersebut.
Pemilik kucing tersebut bersama keluarganya pergi ke rumah jiran mereka untuk melihat kerosakan pada kereta tersebut tetapi hanya menemui kesan kotoran dan tapak kaki kucing itu.
Pemilik kucing tersebut berkongsi dengan pihak media Thailang bahawa mereka telah cuba untuk mencapai kata sepakat dengan jirannya. Mereka juga telah membayar denda sebanyak 500 baht di balai polis kerana membiarkan haiwan peliharaan keluar bersendirian dan telah ke mahkamah sebanyak dua kali.
Walaupun begitu, jiran mereka tidak pernah menghadiri sesi mahkamah dan berterusan pergi ke rumah mereka untuk meminta wang pampasan dari mereka.
Ekoran daripada tularnya cerita ini, laporan terkini menyatakan bahawa pemilik kereta tersebut akhirnya memohon maaf dan mengatakan yang mereka tidak mahukan wang tersebut.
Sumber: The Thaiger