Seorang bapa berusia 60 tahun dilaporkan nekad membunuh menantunya dengan menggunakan pisau dapur kerana berang anak perempuannya dipukul oleh mangsa, lapor Tribun news.
Kejadian itu berlaku di Bandar Lubuklinggau, Sumatera Selatan pada Sabtu lalu.
Anak dan menantunya dipercayai sering bertengkar namun kekecohan kali ini berakhir dengan tragedi pilu.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke hospital.
Ketua Polis Lubuklinggau, AKBP Nuryono, menjelaskan bahawa kejadian itu bermula ketika anak suspek pergi ke rumah suaminya.
“Mereka sudah lama berselisih faham dan dalam proses bercerai,” katanya.
Wanita itu dikatakan telah mengambil barang-barang di dalam rumah mangsa untuk dibawa ke rumah bapanya.
“Tidak dapat terima kenyataan ditinggalkan oleh isteri, mangsa menemui isterinya di sekitar rumah mertuanya dan terus memukul wanita itu.
“Suspek yang mendengar bunyi bising dari dalam rumah segera keluar, mangsa juga marah-marah sambil menunjuk ke arah bapa mertuanya,” ujarnya.
Mungkin kerana berang dengan perlakuan menantunya itu, suspek terus masuk ke rumah dan mengambil pisau.
Dia terus menikam perut mangsa hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke tanah.
Suspek kini telah ditahan oleh Polis Lubuklinggau Utara.
Sumber: Tribun News