
Tertuduh, 27, turut diperintah oleh Majistret P. Sarulatha menjalani hukuman penjara selama lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, operator pengeluaran itu didakwa dengan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan tindakan marah itu bakal memecah keamanan awam di sebuah unit pangsapuri di Jalan Muhibbah, Bukit Raja, di sini pada 12.40 tengah hari 26 Nov lepas.
Lelaki tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, tertuduh ditegur oleh seorang individu kerana memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada 26 Nov lepas di sebuah unit pangsapuri di Bukit Raja, di sini sebelum ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada 8.34 malam hari yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi memohon hukuman maksimum dikenakan kepada Hosin supaya ia memberi pengajaran kepadanya susulan tindakan yang tidak menghormati negara ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta maaf atas tindakannya itu dan menzahirkan rasa sayang kepada negara ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh di Klang pada 26 Nov lepas selepas dipercayai memasang Jalur Gemilang secara terbalik di luar rumahnya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata pihaknya menerima laporan mengenai perbuatan lelaki berusia 30-an itu kira-kira 12.40 tengah hari berikutan pengerusi komuniti penduduk kawasan perumahan itu cuba menasihatinya namun dia bertindak melawan dan membuat provokasi selain enggan membetulkan kedudukan bendera tersebut.
BACA: Warga Asing Pasang, Biarkan Bendera Malaysia Terbalik Ditahan Polis
Sumber: Bernama