Syarikat automotif gergasi, Tesla menerima kritikan hebat setelah syarikat kelolaan Elon Musk itu membenarkan pemandu dan penumpang kereta mereka bermain permainan video dalam keadaan kereta bergerak, lapor The Sun.
Tesla melancarkan fungsi permainan video untuk papan pemuka Tesla Model 3 pada musim panas lalu menerusi teknologi perisian jarak jauh mereka. Tiga permainan video yang dilancarkan termasuk Solitaire, Sky Force Reloaded dan The Battle of Polytopia: Moonrise.
Fungsi permainan video pada model kereta mewah Tesla ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebelumnya, fungsi ini hanya boleh digunakan semasa kereta dalam keadaan parkir. Namun update terkini membolehkan pemandu dan penumpang memainkan permainan video yang tersedia di skrin sentuh papan pemuka semasa kereta sedang dipandu.
Kemudahan yang disediakan Tesla untuk pemilik kereta keluaran mereka menimbulkan persoalan banyak pihak kerana dianggap lebih mementingkan inovasi berbanding faktor keselamatan. Tindakan syarikat Tesla ini turut mendapat kritikan National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA).
“Kemungkinan berlaku perlanggaran perlu diambil serius, tambahan pula dalam kenderaan yang menyediakan kemudahan berbentuk hiburan. Akta Keselamatan Kenderaan juga tidak membenarkan pengeluar memasarkan kenderaan dengan rekabentuk yang mengancam keselamatan,” jelas jurucakap NHTSA, memetik laporan The Sun.
Seperti yang kita tahu, kebolehan model kereta Tesla yang menggunakan fungsi autopilot untuk mengendalikan kenderaan secara automatik merupakan satu fungsi yang jarang ada pada kereta-kereta lain. Pun begitu, menurut laporan The Sun, autonomi model kereta Tesla berada di tahap dua daripada lima, di mana pada tahap ini, pemandu perlu sentiasa bersedia untuk mengambil alih kendali kereta secara penuh.
Sumber: The Sun