Foto: Facebook KKR
Tiada Kategori

Belanjawan Madani 2026 Perkukuh Infrastruktur Negara Demi Kesejahteraan Rakyat

Aina Munirah

Belanjawan Madani 2026 Perkukuh Infrastruktur Negara Demi Kesejahteraan Rakyat

Kementerian Kerja Raya (KKR) menyokong sepenuhnya pembentangan Belanjawan MADANI 2026 oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, yang bertemakan “Belanjawan Rakyat”.

Sebagai belanjawan pertama di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dokumen fiskal ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menggerakkan agenda pembangunan seimbang dengan memperkukuh kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan prasarana moden yang selamat, mampan dan inklusif di seluruh pelusuk negara.

Ini dilaksanakan dengan berpaksikan kepada tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu Menaikkan Siling Pertumbuhan Negara, Menaikkan Lantai Taraf Hidup Rakyat Dan Memacu Pembaharuan, terutamanya Tatakelola Baik.

Dalam hal ini, KKR menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan.

Kementerian akan terus komited meneruskan inisiatif utamanya iaitu meningkatkan kualiti, kemampanan dan kelestarian Infrastruktur Negara dan Kemudahan Awam yang selamat dan selesa. untuk rakyat Malaysia.

Bagi tahun 2026, KKR menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.692 bilion, iaitu kenaikan 3.3% berbanding RM10.349 bilion pada tahun 2025.

Daripada peruntukan tersebut, jumlah bajet mengurus (OE) KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM1.085 bilion iaitu kenaikan sebanyak 6.1% berbanding RM1.022 bilion pada tahun 2025 yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti KKR dan kakitangannya dengan kemahiran dan teknologi terkini.

Manakala bajet pembangunan (DE) tahun 2026 yang diluluskan adalah berjumlah RM9.607 bilion berbanding RM9.327 bilion pada tahun 2025 dengan kenaikan sebanyak 3.0%, akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan baharu serta kesinambungan projek infrastruktur sedia ada di seluruh negara.

Antara inisiatif utama yang diteruskan ialah Program MYJALAN dengan peruntukan RM2.5 bilion untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan.

Program ini akan terus memastikan jalan raya di seluruh negara berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa, serta menjadi pemangkin utama kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat.

Di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 3,000 lampu LED baharu akan turut dipasang di lokasi berisiko kemalangan di lebuh raya. Selain itu, RM260 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja keselamatan cerun di kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

Sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada 115 Jurutera Daerah JKR bagi memberi fokus kepada pelaksanaan kerja-kerja yang memerlukan pembaikan segera.

Kerja-kerja ini termasuk pembaikan kecil segera turapan/tampalan jalan, pembaikan perabot jalan, mengecat garisan jalan yang pudar, pembaikan kecil ke atas expansion joint, pembaikan segera akibat bencana serta pembaikan lampu jalan dan lampu isyarat.

Dalam usaha memperkukuh pemerkasaan kontraktor tempatan, peruntukan untuk kontraktor kecil Bumiputera Kelas G1-G4 telah meningkat daripada RM450 juta pada tahun 2025 kepada RM700 juta pada tahun 2026, iaitu peningkatan sebanyak RM250 juta atau 55.6 peratus.

Langkah ini akan memberi peluang lebih luas kepada kontraktor kecil untuk terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan, meneroka potensi selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan. memperkukuh rantaian industri pembinaan negara.

Dari segi pembangunan wilayah, Sabah dan Sarawak kekal sebagai keutamaan di bawah Belanjawan MADANI 2026. Pelaksanaan projek strategik seperti Pan Borneo Sabah, Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) diteruskan bagi memperkukuh jaringan pengangkutan darat dan meningkatkan akses rakyat di kedua-dua negeri.

Projek naik taraf seperti Jalan Durin-Salim di Sibu dan pembinaan Jalan Kalabakan-Simanggaris sepanjang 28 kilometer di Sabah akan diteruskan bagi meningkatkan tahap keselamatan, memperkukuh jaringan Jalan sempadan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

Di Semenanjung Malaysia, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi juga diteruskan bagi meningkatkan kesalinghubungan wilayah dan keselamatan pengguna.

Antara projek utama termasuk Penyuraian Trafik PLUS (Juru-Sungai Dua) dan pembinaan terowong bawah tanah (underpass) Mount Erskine-Burma di Pulau Pinang, naik taraf Lebuhraya Senal-Desaru di Johor, pembinaan jalan baharu Masjid Tanah-Telok Gong di Melaka, pembinaan Jejambat Batu 9 Cheras di Selangor, serta naik taraf Lebuhraya Kuantan-Segamat dan Jambatan Serengkam-Kuala Wau di Pahang.

Projek-projek ini dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penjimatan masa perjalanan, peningkatan keselamatan dan keseimbangan pembangunan wilayah.

Dalam masa yang sama, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memperkukuh latihan, pensijilan serta pembangunan kemahiran kontraktor Bumiputera dan belia dalam industri pembinaan.

CIDB turut memberi prioriti kepada penerapan teknologi baharu dan amalan pembinaan hijau selaras dengan agenda ekonomi bernilai tinggi dan kelestarian negara.

Secara keseluruhannya, Belanjawan MADANI 2026 mempamerkan bukti nyata komitmen Kerajaan MADANI dalam memulihkan daya tahan fiskal negara sambil memastikan pelaburan terus disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas di bandar dan desa, khususnya akses jalan raya yang selamat dan selesa bagi merancakkan Ekonomi MADANI yang lebih makmur dan dinikmati oleh rakyat.

Bagi memastikan kejayaannya, ia memerlukan keterangkuman seluruh warga Malaysia yang terdiri daripada rakyat, kerajaan dan industri yang disulami dengan semangat perpaduan, tatakelola yang baik (membanteras rasuah) serta sistem penyampaian awam yang tangkas dan kolaboratif.

BACA: Belanjawan 2026: Kerajaan Perluas Bantuan Am Persekolahan Kepada Murid Miskin Sehingga Tingkatan 5