Kredit: Bernama
Tiada Kategori

Belanjawan 2026 Pacu Agenda Pembangunan Desa Inklusif Dan Sejahtera

Aina Munirah

Belanjawan 2026 Pacu Agenda Pembangunan Desa Inklusif Dan Sejahtera

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyambut baik dan amat menghargai inisiatif-inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Madani Keempat, Belanjawan Rakyat memperlihatkan komitmen Kerajaan dalam memperkukuh asas ekonomi negara yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat la bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi manifestasi kesungguhan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk 8.14 juta penduduk luar bandar, tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.

Kementerian merakamkan setinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri untuk peruntukan berjumlah RM12.4 bilion, meningkat sebanyak RM0.44 bilion atau 3.69% berbanding tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, RM4.61 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala RM7.78 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, melibatkan pelaksanaan pelbagai program strategik berimpak tinggi di seluruh negara.

Di bawah peruntukan pembangunan, sebanyak RM3.3 bilion untuk projek prasarana asas desa, RM2.5 bilion bagi membina dan membaiki jalan kampung serta jalan perhubungan desa. Manakala, lebih RM700 juta untuk membekal air bersih dan elektrik termasuk pemasangan panel solar hibrid di kampung kecil Sabah dan Sarawak yang memberi manfaat kepada 3.200 rumah. Hampir RM90 Juta diperuntukan bagi pelaksanaan projek jambatan, pemasangan lampu jalan kampung yang lebih cekap tenaga dan solar. Langkah ini bukan sahaja menjimatkan tenaga dan kos penyelenggaraan, tetapi juga menyokong Dasar Tenaga Negara 2022-2040 ke arah tenaga mampan dan hijau.

Selain itu, sebanyak RM50 Juta disalurkan kepada MARA untuk menaik taraf lebih 363 premis perniagaan MARA seluruh negara, memberi manfaat kepada lebih 7,300 usahawan. Selain itu, Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA turut menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula dalam sektor strategik bernilai tinggi. Langkah ini akan memperkasa ekonomi desa, meningkatkan keterhubungan, membuka akses ekonomi dan mempercepat transformasi desa sebagai pusat pertumbuhan baharu negara.

Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, KKDW amat menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat dengan memperuntukkan sebanyak RM436.13 juta untuk Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat merangkumi Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Bina Insan (PBI) dan Program Komuniti Sejahtera (PKS).

Selain itu. Belanjawan 2026 telah memperuntukkan RISDA, FELCRA Berhad dan FELDA yang menjadi tonggak sosioekonomi luar bandar sebanyak hampir RM2.4 bilion untuk terus melindungi lebih 720 ribu peneroka, pekebun kecil serta keluarga.

KKDW menyokong sepenuhnya agenda pemerkasaan TVET oleh Kerajaan MADANI susulan peningkatan peruntukan kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion pada tahun 2025. Di bawah peruntukan ini, RM 30 juta telah disediakan bagi Industrail Boot Camp (IBC) MARA untuk melatih peserta dengan jaminan pekerjaan. Seramai 720 pelajar tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA untuk dimanfaatkan selepas tamat pengajian. Pelaburan ini akan melahirkan tenaga kerja mahir, berakhlak dan berdaya saing tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina generasi desa berilmu dan selari dengan tuntutan literasi digital, televisyen pintar akan dibekalkan kepada 10,800 kelas prasekolah, taska dan tabika seluruh negara dengan kos RM70 juta. Kerajaan juga komited dalam memperluas TABIKA Berkeperluan Khas (Tunas Istimewa@KEMAS) bagi kanak-kanak autisme ringan di kawasan luar bandar di seluruh negeri termasuk Terengganu, Labuan dan Kedah. Di samping itu, kerajaan juga akan menaikkan kadar Bayaran Sara Hidup (BSH) seramai 4,000 pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pendidikan awal luar bandar.

Mendukung konsep masyarakat inklusif, sebanyak hampir RM412 juta peruntukan ditingkatkan bagi pembangunan komuniti Orang Asli. Antara inisiatif utama termasuk, RM155 Juta bagi menaik taraf jalan kampung Orang Asli di Negeri Sembilan dan Pahang. Seterusnya, hampir RM13 juta untuk menaik taraf premis TABIKA serta pembinaan empat TABIKA baharu dan peluasan Program Chup Badul Sikulah di Hulu Perak bagi mendidik lebih 350 anak Orang Asli. Peruntukan ini bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat pedalaman, sejajar dengan prinsip ‘Leave No One Behind’.

Belanjawan 2026 menjadi landasan penting untuk membawa anjakan paradigma dalam pembangunan luar bandar. KKDW komited untuk memastikan peruntukan RM12.4 bilion yang diterima pada tahun 2026 akan dimanfaat sepenuhnya bagi mentransformasi pembangunan luar bandar sekaligus memastikan peruntukan ini dinikmati oleh semua rakyat luar bandar.

BACA: IKONDESA: Inisiatif “Game Changer” KKDW Memperluas Akses Produk Desa ke Bandar