
Bekas Polis Terlepas Hukuman Gantung, Dipenjara 10 Tahan Sebabkan Kematian Anak Tiri
PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) — Seorang bekas koperal polis terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kerana membunuh anak tiri yang berusia dua tahun pada 2015, kepada penjara 10 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.
Panel hakim yang terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, 42, yang merayu terhadap sabitan dan hukuman mati.
Dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan pada 6 Jun, Azman berkata selepas meneliti keterangan, mahkamah mendapati Mahkamah Tinggi tersilap dalam mensabitkan tertuduh atas kesalahan membunuh kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa dia mempunyai niat untuk mendatangkan kecederaan pada badan kanak-kanak itu yang menyebabkan kematiannya.
Beliau berkata mahkamah berpendapat keterangan daripada pihak pendakwaan kurang dalam membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa perbuatannya itu amat berbahaya sehingga kemungkinan besar boleh menyebabkan kematian, atau kecederaan badan itu berkemungkinan menyebabkan kematian.
Saksi itu turut melihat kanak-kanak berkenaan terbaring sambil memegang botol susu di hadapan televisyen selepas itu.
Tertuduh didakwa membunuh anak tirinya di sebuah rumah di kondominium di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 7 pagi dan 7.30 malam pada 6 Nov 2015.
Dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021. Dia kemudiannya merayu ke Mahkamah Rayuan.
Bapa kandung kanak-kanak itu dan ibu tirinya memberi keterangan bahawa mereka menyedari terdapat kesan lebam pada badan kanak-kanak itu terutamanya pada bahagian rusuk dan pehanya semasa berada dalam jagaan mereka antara 17 Okt 2015 dan 19 Okt 2015.
Bapa kandung mangsa juga memberi keterangan di mahkamah bahawa anaknya sakit dan memberitahu “Papa Bi” yang menyebabkan lebam itu. Menurutnya “Papa Bi” yang disebut oleh anaknya itu merujuk kepada tertuduh.
Ibu bapa kanak-kanak itu bercerai pada 2013 dan ibunya berkahwin dengan tertuduh manakala bapanya berkahwin dengan wanita lain.
BACA: Jangan Buat ‘Ini’ Sebelum X-ray Gigi, Nanti Nampak Macam Pakai Susuk
Sumber: Bernama