SHAH ALAM, 17 Julai — Bekas pemandu Formula 4 negara, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 32 pertuduhan menipu dan memperdayakan dua lelaki bagi mendapatkan kad pengenalan, lesen memandu dan pasport, membabitkan kerugian RM709, 200, sekitar Nov 2018 sehingga Jun 2019.
Tertuduh, Eric Louis Pragasam, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga pertuduhan ke-31, tertuduh yang tidak bekerja didakwa menipu dan memperdayakan Lim Heng Ho, 65, bahawa tertuduh boleh membantu mendapatkan Lim Yat Soon, kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lesen memandu dan pasport sehingga mendorong mangsa (Heng Ho) menyerahkan wang tunai berjumlah RM704, 200 kepada tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Petaling Jaya pada 3 Nov 2017 hingga 14 Mei 2019.
Manakala bagi pertuduhan ke-32 pula, tertuduh didakwa menipu Lim Yat Soon, 20, dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh boleh membantu mendapatkan mangsa (Yat Soon) kad pengenalan daripada JPN sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada tertuduh.
Eric Louis didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Khalifah, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 Jun 2019.
Kesemua pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab, memohon mahkamah agar Eric Louis diikat jamin sebanyak RM320,000 untuk kesemua pertuduhan bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah setiap kali perbicaraan berlangsung.
Bagaimanapun, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili tertuduh memohon wang ikat jamin dikurangkan atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang dia ditahan.
Rozilah kemudian membenarkan Eric Louis diikat jamin sebanyak RM160,000 iaitu 5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 Ogos depan.
Formula 4 ialah kategori kereta lumba dengan roda terbuka sepenuhnya bagi pemandu remaja.
Sumber: BERNAMA